Auto Added by WPeMatico

SEREMBAN – Seorang pemandu van sekolah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, tiga tahun lalu.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Datin Surita Budin setelah mendapati pihak pembelaan bagi tertuduh, S.Arron, 44, berjaya menimbulkan satu keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembelaan.
“Setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan dan pembelaan pada akhir kes pembelaan serta membaca semua hujahan yang telah dikemukakan kedua-dua belah pihak pada tahap penilaian secara maksimum, mahkamah memutuskan, pihak pembelaan berjaya membangkitkan satu keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Oleh demikan, pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan di bawah seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan dari pertuduhan dikenakan terhadapnya,” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan kesalahan dengan cara memegang dan meramas tangan sebelah kanan serta memegang dan menepuk paha sebelah kanan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang 6.20 pagi di dalam van sekolah di Jalan Suriaman 3 di sini pada 29 Mac 2022.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni manakala tertuduh diwakili peguam S.Kartikeyan. = KOSMO! ONLINE
The post Pemandu van sekolah dilepas, bebas kes amang seksual kanak-kanak appeared first on Kosmo Digital.