Auto Added by WPeMatico

DISANGKA sudah berbaik selepas meraikan hari raya seisi keluarga pada 2019, hakikatnya konflik antara pelakon Nabila Huda dengan ibu tirinya, Datin Norhasniza Hassan atau Norish masih belum berkesudahan.
Barangkali lama memendam perasaan, akhirnya kolam duka anak kepada penyanyi rock Datuk Amy pecah sehari sebelum Amy Magic Concert di Axiata Arena Bukit Jalil pada 26 April lalu.
Video tular itu menunjukkannya memeluk insan kesayangan sambil menangis dan dimuat naik dalam Instagram bersama kapsyen menyentuh hati mengenai kerinduan terhadap bapanya.
Punca telagah
“Sudah tentu saya rindu. Terlerai rindu saya sekejap, bila lama tak jumpa dan bertemu pula sudah tentu saya seronok. Dalam masa sama saya gementar,” katanya.
Begitupun, ketika itu Nabila, 40, atau mesra disapa Abil belum memperincikan situasi dilalui mahupun punca dia dan bapanya tidak bersua muka selama bertahun-tahun.
Namun netizen sudah dapat menjangka masih membahang kemelut antaranya dan Norish sehingga dia turut berjanji mahu membongkar segala-galanya dalam tempoh terdekat.
Akhirnya, tiga hari selepas konsert solo mega Amy, Abil membuka mulut mendakwa mereka tidak bertelagah, sebaliknya ketegangan itu berpunca daripada ibu tirinya.
“Sebenarnya, saya dan papa tak ada masalah langsung dari dulu sampai sekarang. Kami tak pernah bergaduh, saya takut orang salah anggap.
“Orang ingat saya asyik bergaduh dengan papa sahaja tak habis-habis. Kami sentiasa okey dan tiada pergaduhan besar. Cuma, masalahnya ‘si polan’ itu. Siapa dia? Saya rasa jijik nak dengar status itu (ibu tiri), sangat menjijikkan.
“Saya minta maaf, saya rasa nak muntah dengar status itu. Saya cuma ada seorang emak dan dia adalah cinta pertama papa saya. Mungkin saya boleh panggil dia (ibu tiri) sebagai ‘perempuan itu’,” katanya ketika ditemui media pada preview filem Gayong, Selasa lalu.
Tumpang kasih
Menunjukkan pertelagahan anak-beranak itu bukan rajuk biasa, Nabila memberi amaran kepada Norish agar tidak mencetuskan lagi provokasi atau segala rahsianya bakal ‘ditelanjangkan’.
Dari situ, rata-rata netizen membuat pelbagai spekulasi berkenaan punca perbalahan dua wanita penting dalam hidup vokalis Search itu.
Kebanyakan pemerhati berada di kem Nabila menganggap Norish membuat sesuatu perkara yang tidak sepatutnya sehingga ikatan bapa dan anak menjauh.
Seperti perseteruan mereka dahulu yang menjadi bualan maya, kali ini ramai menzahirkan kemarahan terhadap isteri Amy.
Apatah lagi dalam luahan terkini Nabila juga puteri daripada perkahwinan pertama rocker terbabit, menyatakan dia hanya mahukan kasih sayang bapa, bukan menumpang kesenangan.
“Saya cuma mahu menumpang kasih seorang ayah sahaja. Kenapa susah untuk awak terima, berhentilah untuk cemburu, buanglah sikap busuk hati, kita ini hidup sementara sahaja,” kongsinya.
Sebelum hal dalam kain keluarga Amy menjadi bahan sensasi, Nabila memuat naik video dia berpelukan dan mencium bapanya yang ditemui secara kebetulan di sebuah lokasi.
Difahamkan, anak-beranak itu sudah setahun tidak bertemu sekali gus membuatkan hubungan Nabila dan Amy turut renggang.
Begitupun, baik peminat mahu pun netizen, ramai memanjatkan doa agar kekeruhan yang disifatkan sebagai isu biasa dalam keluarga itu dapat dileraikan.
Amy sebagai ketua keluarga iaitu suami serta bapa kepada lima cahaya mata diharap mampu menjadi orang tengah yang dapat menyatukan kembali keluarganya.
Air dicincang takkan putus, begitu juga hubungan ibu bapa dan adik-beradik kerana pada akhirnya hanya famili tempat kita bergantung harap.
The post Isteri, anak bersengketa, Amy bertindaklah appeared first on Kosmo Digital.