Auto Added by WPeMatico

REMBAU – Seorang anggota tentera berpangkat Lans Koperal maut selepas motosikal yang dia tunggang terbabas di kilometer 237.3, Lebuh Raya Utara Selatan (arah Selatan), di sini, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 pagi, mangsa, Muhammad Roufeq Amanda Mohamad Rozman, 23, beralamat di Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Kementah Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur disahkan maut di lokasi kejadian susulan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal manga yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dalam perjalanan pulang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Bakri, Muar untuk pulang ke rumah.
“Apabila sampai di tempat kejadian, penunggang dipercayai telah hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelah kiri jalan lalu terbabas di lorong kecemasan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat telah dibawa ke Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasat,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Azmi lagi, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – KOSMO! ONLINE
The post Tentera maut motosikal terbabas di lebuh raya appeared first on Kosmo Digital.