Auto Added by WPeMatico

GUA MUSANG – Mayat seorang bayi lelaki berlumuran darah yang dibaluti kain lampin dijumpai di taman permainan di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang di sini semalam.
Penduduk menjumpai mayat tersebut kira-kira pukul 10.30 malam bersebelahan pondok di kawasan taman permainan itu.
Seorang peniaga, Fauziah Abdullah, 45, berkata, kejadian terbabit disedari oleh dua orang remaja lelaki yang sedang berehat di kawasan taman permainan itu.
Katanya, difahamkan, salah seorang daripada remaja itu terpijak sesuatu apabila keadaan pada waktu malam di taman permainan itu sangat gelap.
“Mengikut cerita remaja lelaki itu, dia terpijak sesuatu yang lembik sebelum sempat menyentuh kaki mayat bayi tersebut.
“Mereka terus memaklumkan penemuan bayi itu kepada penduduk di kawasan perumahan ini sebelum membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui di PPR Gua Musang di sini hari ini.
Fauziah memberitahu, ketika kejadian dia masih berada di kedai runcit yang hanya berjarak dua meter daripada lokasi kejadian.
Seorang tukang cuci, Norizan Esa, 52, berkata, kejadian terbabit mengejutkan penduduk kerana ia merupakan kejadian pertama kali berlaku di kawasan perumahan itu.
Katanya, dia mengetahui kejadian itu kira-kira pukul 7 pagi tadi apabila melihat perkongsian gambar bayi lelaki berbalut kain dengan kesan darah melalui aplikasi WhatsApp.
“Lokasi bayi itu dijumpai merupakan tempat yang saya dan rakan-rakan perlu menyapu setiap hari. Lokasinya terletak berhampiran tong sampah dan terdapat kesan korekan tanah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat bayi lelaki di kawasan PPR Gua Musang dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE
The post Mayat bayi berlumuran darah dijumpai di PPR Gua Musang appeared first on Kosmo Digital.