Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Penggubah lagu Tak Adil, Danial Chuer, berkata fokus utama menjelang pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) kini adalah memastikan keadaan vokal penyanyi, Aisha Retno, berada pada tahap terbaik.
Menurut Danial, persiapan susunan muzik lagu berkenaan sudah selesai sepenuhnya, namun aspek kesihatan fizikal dan mental Aisha perlu diberi perhatian memandangkan jadual penyanyi itu yang padat.
“Jadual Aisha sangat sibuk, jadi sebagai penggubah lagu Tak Adil, saya mahu memastikan kesihatannya sentiasa terjaga. Kita tidak tahu keadaan mental dan fizikalnya bagaimana, jadi jika dia tidak berada dalam keadaan baik, agak sukar untuk memberikan persembahan terbaik.
“Setakat ini, susunan muzik sudah siap dan kami masih dalam proses membahagikan bahagian vokal untuk Aisha. Untuk AJL kali ini, susunannya agak berbeza, jadi kami mahu memastikan dia mampu menyampaikan persembahan yang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai konsep persembahan, Danial berkata lagu berkenaan akan diperkemaskan dengan elemen lebih besar menerusi pengembangan susunan muzik, kehadiran penari serta penggunaan prop pentas.
Katanya, identiti asal Tak Adil tetap dikekalkan, namun persembahan kali ini akan diberikan nafas baharu agar lebih menyerlah di pentas berprestij itu.
“Untuk lagu Tak Adil, kami masih mengekalkan identiti asalnya, tetapi persembahan akan diperbesarkan dari segi muzik, penari dan juga prop. Perbezaan utama kali ini adalah pada susunan vokal kerana kami lebih memberi tumpuan kepada kestabilan vokal Aisha.
“Kita tahu Aisha gemar menghasilkan gubahan vokal yang unik, jadi kali ini kami mahu mengekalkan keunikan itu sambil memastikan vokalnya lebih stabil. Boleh dikatakan gubahan vokal kali ini sedikit lebih mencabar untuknya,” katanya.
Dalam pada itu, Danial tidak menafikan Aisha mempunyai sasaran tersendiri apabila beraksi di pentas AJL40 nanti.
Walaupun penyanyi itu menyatakan hasrat untuk menikmati persembahan lagu yang dicipta bersama adiknya, Danial percaya Aisha tetap menyimpan impian untuk mencipta kejayaan.
“Kali ini dia ada memberitahu hanya mahu berseronok menyanyikan lagu Tak Adil kerana ini kali pertama lagu yang ditulis bersama adiknya dipertandingkan. Namun, jauh di sudut hati, saya tahu dia mungkin mempunyai sasaran untuk mendapatkan vokal terbaik, persembahan terbaik atau sekurang-kurangnya memperoleh kedudukan yang baik.
“Apa pun, saya hanya mahu dia benar-benar menikmati persembahannya di atas pentas nanti,” katanya. – UTUSAN
The post Tak Adil bakal tampil lebih gah di pentas AJL40 – Danial Chuer appeared first on Utusan Malaysia.

