Auto Added by WPeMatico

Apabila usia semakin meningkat, ramai tidak menyedari fungsi mulut juga boleh menjadi lemah seperti juga deria atau anggota lain iaitu penglihatan yang semakin kabur, telinga yang semakin kurang mendengar selain sakit-sakit lutut.
Kajian menunjukkan kira-kira 1 daripada 3 warga emas di seluruh dunia berhadapan dengan masalah kelemahan fungsi mulut sehingga menjejaskan kualiti kehidupan penghidapnya.
Kelemahan fungsi mulut atau dikenali sebagai Oral frailty membabitkan kemerosotan keupayaan asas rongga mulut yang menyukarkan pesakit untuk mengunyah makanan, sukar menelan makanan dan mudah tersedak apabila minum.
Kelemahan mulut selalunya berlaku perlahan-lahan dan sering dianggap perkara biasa. Ada warga emas yang mengambil masa lebih lama untuk menghabiskan makanan dan setengahnya mula mengelak daripada makanan tertentu kerana sukar dikunyah.
Ada juga yang kerap batuk atau tersedak ketika minum air. Malah, ada yang semakin kurang bercakap kerana pertuturan menjadi kurang jelas. Semua ini mungkin petanda fungsi mulut mula merosot.
Pensyarah dan Pakar Kesihatan Awam Pergigian Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Haslina Rani, berkata, kelemahan mulut tidak berlaku secara tiba-tiba tetapi berterusan sedikit demi sedikit melangkaui tempoh masa yang lama.

“Mulut yang sihat bukan sekadar mempunyai gigi yang cantik atau bebas daripada penyakit. Mulut mempunyai pelbagai fungsi penting dalam kehidupan harian. Kita menggunakan mulut untuk mengunyah makanan, menelan, bercakap, merasa makanan dan berinteraksi dengan orang lain.
“Jika tidak diberi perhatian, keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan dan kualiti hidup seseorang warga emas berikutan tidak mendapat zat pemakanan yang diperlukan melalui pemakanan selain faktor sosial lain,” katanya.
Katanya, antara tanda kelemahan fungsi mulut yang sering berlaku adalah makanan mudah tertinggal di dalam mulut, sukar mengunyah makanan keras, mulut terasa kering, pertuturan kurang jelas atau mudah tersedak ketika makan dan minum.
Disebabkan keadaan sukar ini, ada juga warga emas mula mengelakkan aktiviti makan bersama keluarga kerana malu atau tidak selesa. Masalah ini bukan sekadar menyukarkan proses makan tetapi menimbulkan tekanan kepada pesakit.
“Apabila seseorang sukar mengunyah atau menelan, pengambilan makanan akan terjejas. Mereka mungkin memilih makanan yang lebih lembut tetapi kurang berkhasiat.
“Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menyumbang kepada kekurangan zat makanan, penurunan berat badan dan kelemahan fizikal.
“Risiko tersedak juga boleh meningkat apabila fungsi menelan semakin lemah,” katanya.
Dalam sesetengah keadaan, makanan atau air boleh masuk ke saluran pernafasan dan menyebabkan jangkitan paru-paru, terutamanya dalam kalangan warga emas yang uzur,” katanya.
Selain itu, fungsi mulut yang lemah boleh mempengaruhi kehidupan sosial seseorang. Kesukaran bercakap atau rasa malu terhadap keadaan mulut boleh menyebabkan warga emas kurang berinteraksi. Sedikit demi sedikit, mereka menjadi lebih pasif dan terasing.
Senaman mulut
Walaupun kelemahan fungsi mulut ini sering dikaitkan dengan penuaan, ramai tidak mengetahui fungsi mulut sebenarnya boleh dilatih dan kadar kemerosotan fungsi mulut boleh diperlahankan.
Dr. Haslina yang juga Setiausaha Kehormat Asian Academy of Preventive Dentistry berkata, sama seperti otot badan yang memerlukan senaman, otot dan fungsi mulut juga memerlukan rangsangan dan latihan berterusan bagi mencegah atau mengurangkan kesukaran yang dialami pesakit.
“Di Jepun, senaman mulut semakin mendapat perhatian sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan warga emas. Antara latihan yang sering digunakan adalah menyebut suku kata ‘pa-ta-ka’ secara berulang.
“Latihan ini membantu melatih pergerakan bibir dan lidah yang penting untuk pertuturan dan proses menelan. Warga emas juga boleh melakukan gerakan lidah ke kiri dan kanan, mengembungkan pipi atau latihan menelan secara terkawal,” katanya.
Katanya lagi, urutan ringan pada kawasan pipi dan bawah rahang juga boleh membantu merangsang penghasilan air liur bagi yang mengalami mulut kering.
“Senaman-senaman ini kelihatan mudah tetapi boleh memberi manfaat apabila diamalkan secara konsisten, setiap hari,” katanya.
Terapi pertuturan juga membantu menguatkan otot oropharyngeal atau kawasan tengah tengkorak dan leher yang terletak tepat di belakang mulut iaitu langit-langit dan pangkal lidah. Terapi ini membantu meningkatkan keupayaan menelan dan mengurangkan risiko tercekik.
Lakukan senaman untuk membina kekuatan lidah, bibir dan rahang dengan menolak lidah ke dalam pipi secara rintangan, menggerakkan bibir seperti bersiul dan membuka rahang dengan tangan menahan.
Selain senaman, menggantikan gigi yang hilang seperti memakai gigi palsu, implan, atau jambatan gigi boleh membantu mengurangkan kesan kelemahan fungsi mulut.
Mempunyai sekurang-kurangnya 20 batang gigi berfungsi adalah penting untuk mengunyah dengan sempurna. Pastikan pesakit makan makanan seimbang dengan memberikan makanan lebih lembut, kaya dengan nutrien dan mudah dihadam, justeru, pencegahan awal boleh membantu memperlahankan kemerosotan fungsi mulut kerana penuaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Namun, kehilangan fungsi mulut bukanlah sesuatu yang perlu diterima tanpa usaha.
Mulut yang sihat dan berfungsi dengan baik membolehkan seseorang menjalani keseluruhan kehidupan dengan lebih baik, makan dengan selesa, bercakap dengan yakin dan menikmati kehidupan sosial dengan lebih baik.
“Selain senaman mulut, penjagaan kesihatan mulut secara keseluruhan juga penting. Pemakaian gigi palsu yang sesuai, penjagaan kebersihan mulut serta pengambilan makanan seimbang turut memainkan peranan dalam mengekalkan fungsi mulut yang baik.
“Elakkan tabiat memudaratkan seperti merokok, penggunaan pengewap dan pengambilan minuman beralkohol. Akhir sekali, dapatkan pemeriksaan pergigian berkala setiap tahun untuk melengkapkan penjagaan kesihatan mulut,” katanya.
Rawatan seperti pembedahan biasanya tidak diperlukan untuk merawat kelemahan fungsi mulut tetapi mungkin diperlukan sekiranya terdapat punca khusus yang merosakkan fungsi asas mulut seperti penyakit gusi yang teruk atau masalah struktur rahang yang ketara.
Mencegah kelemahan fungsi mulut boleh dilakukan dengan menjaga kebersihan mulut, melatih mengunyah makanan keras, melatih otot lidah dan melakukan pemeriksaan gigi secara berkala.
Ahli keluarga dan penjaga juga perlu lebih peka terhadap perubahan kecil yang berlaku pada warga emas. Kadangkala, tanda awal kelemahan fungsi mulut tidak disedari kerana dianggap sebahagian daripada proses penuaan biasa. –UTUSAN
The post Punca fungsi mulut warga emas semakin lemah appeared first on Utusan Malaysia.
