Auto Added by WPeMatico

![]()
KETAKSUBAN generasi milenial terhadap media sosial bersama ideologi ‘segalanya di hujung jari’ tanpa disiplin tabayyun yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, kini sampai ke tahap amat merunsingkan apabila sebaran maklumat tidak sahih dan fitnah semakin dinormalisasikan.
Imam Muda Masjid Mukim Pintu Geng, Ustaz Mohammad Saifullah Yusoff berkata, kebergantungan tinggi manusia akhir zaman kepada internet dan media sosial juga mencapai titik terburuk yang mana tanpa kita sedari ‘satu butang’ mampu menimbulkan ribuan musibah serta kerosakan.
Mohammad Saifullah Yusoff
Asal: Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Kelantan
Jawatan: Imam Muda Masjid Mukim Pintu Geng, Kota Bharu
Pekerjaan: Tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Darul Ansar, Wakaf Che Yeh, Kota Bharu
Pendidikan:
Sekolah Rendah Islam An-Nur, Kota Bharu
Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan, Kandis, Bachok
Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, Kuala Lumpur
Pengkhususan pengajian: Daurah al-hadith/Al-kutub al-sittah (Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan an-Nasa’i, Jami’ al-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah)
“Bayangkan dengan satu butang sahaja, kita mampu menyebabkan kerosakan, permusuhan, keresahan awam dan penyesalan kepada ramai orang.
“Semuanya berpunca daripada sikap malas semak serta selidik kesahihan sesuatu berita sebelum tekan butang share.
“Akhirnya kita sebar berita palsu atau berita fasik. Kita rasa tidak mengapa tetapi tanpa sedar kita melakukan dosa yang berlapis-lapis dan memporak-perandakan kehidupan ramai individu serta institusi keluarga,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau berkata, masyarakat di Malaysia sepatutnya dididik dengan tabayyun sejak daripada awal usia kerana ia merupakan fardu ain dan sesuatu kewajipan, sebagaimana termaktub melalui perintah Allah SWT dalam surah Al-Hujurat:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya), sehingga kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Q.S 49:6)
Beliau menegaskan, penyebaran berita fasik, berita palsu dan fitnah secara berleluasa, terutama sehingga mendatangkan kerosakan serta permusuhan boleh juga membawa kepada ‘ghibah’ yang merupakan dosa besar dalam Islam sepertimana ditegaskan Allah dalam surah Al-Hujarat: Ayat ke-12:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah kamu mengumpat sesetengah yang lain.
Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah maha menerima taubat, lagi Maha Mengasihani” (QS 49:12)
Mohammad Saifullah berkata, keperluan media sosial dan internet bagaimanapun tidak dapat dinafikan kerana ia telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia pada masa kini dan masing-masing perlu belajar mengawal diri dari ketaasuban terhadap kedua-duanya sekali gus belajar bertabayyun.
“Kita tahu keadaan diri masing-masing dan mesti belajar kawal diri. Paling penting belajar ilmu agama, fekah serta tauhid dan di sinilah pentingnya peranan ibu bapa serta diri sendiri untuk berjinak-jinak dengan kitab.
“Jadikan Islam landasan utama untuk bertabayyun. Siasat dan kaji selidik lebih dahulu setiap maklumat atau berita yang diterima.
“Kalau terbukti tidak betul, jangan kongsi sebagaimana disebut dalam Hadis Sahih Muslim no.5 yang diriwayatkan oleh Hafs bin Asim r.a, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun)”, Riwayat Muslim (5),” katanya. –UTUSAN
The post Kongsi maklumat jangan sampai ‘ghibah’ appeared first on Utusan Malaysia.
