Auto Added by WPeMatico

SUNGAI PETANI – Hanya kerana dikatakan tidak bersungguh ketika latihan bola jaring, dua murid sebuah pusat pendidikan prasekolah, dekat sini didakwa dirotan seorang guru sehingga lebam pada Khamis lalu.
Waris pelajar yang enggan dikenali mendakwa, anak perempuannya menerusi panggilan telefon mengadu sakit pada kedua-dua belah tangan dan kaki akibat dirotan guru semasa latihan bola jaring.
Katanya, dia kemudian bergegas pulang dan singgah di pusat berkenaan untuk bertemu guru terbabit dan melihat seorang waris pelajar lain sedang memarahi seorang guru wanita di kawasan luar pagar kerana merotan anaknya.
Tambahnya, dia kemudian bergegas pulang ke rumah dan memeriksa tubuh anak perempuannya itu dan mendapati terdapat kesan lebam di kedua-dua belah tangan dan kaki anaknya itu.
Waris murid itu kemudian membawa anaknya mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan sebelum membuat laporan polis.
Menurut waris itu lagi, anak perempuannya kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) akibat kecederaan dialami.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan yang dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan dari dua waris murid terlibat.
“Namun seorang waris murid terbabit enggan meneruskan kes berkenaan dan pihak kita sedang melengkapkan siasatan termasuk akan menahan guru perempuan berusia 28 tahun untuk melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Budak lebam kena rotan sebab tak bersungguh berlatih bola jaring appeared first on Kosmo Digital.