Auto Added by WPeMatico

PELAKON Sophia Albarakbah mengakui terharu melihat ramai individu termasuk rakan artis menzahirkan sokongan terhadap dirinya susulan tindakannya membuat lapora polis berhubung dakwaan menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual baru-baru ini.
Sophia atau Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 32, berkata, tindakannya itu sekali gus membuka mata ramai bahawa buli siber bukan satu perkara enteng kerana terdapat kes membawa kepada kematian.
“Ramai rakan artis beri sokongan kepada saya menerusi ruangan mesej dan sebagainya. Mungkin mereka faham dan pernah melalui situasi sama.
Kata mereka terima kasih sebab memperjuangkan isu ini sebab masih ramai mangsa buli yang takut nak ke depan.
“Jangan pandang remeh isu buli sebab ada kes yang sampai menyebabkan kematian, bersuaralah kalau perlu untuk selamatkan diri,” katanya yang ditemui pada majlis memperkenalkan barisan duta baharu Amber, semalam.
Berkongsi tentang perjalanan kesnya, dia diminta untuk hadir ke pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) minggu depan bagi memberikan keterangan berhubung kes tersebut.
“Selepas buat laporan polis tempoh hari, minggu depan saya akan ke pejabat MCMC untuk beri kenyataan di sana pula. Sekarang barulah rasa lega sedikit.
Saya buat perkara ini bukan untuk diri sendiri tetapi untuk semua orang, terutamanya rakan selebriti, sebab saya rasa golongan ini kerap jadi mangsa buli siber.
“Perkara ini bukan sesuatu yang patut dinormalisasikan, apatah lagi sekarang kecoh isu adik Zara Qairina, buli boleh akibatkan kematian,” ujarnya.
Ujarnya, pendedahan dalam Instagram baru-baru ini dengan memaparkan akaun dan konten negatif segelintir individu sedikit sebanyak membuka mata terhadap mereka yang menganggap perkara tersebut sebagai isu remeh.
“Kes kematian akibat bunuh diri disebabkan buli siber sangat tinggi termasuk di Korea Selatan. Syukur negara kita tak begitu, tapi kes seperti itu memang wujud.
Sebelum ini ada yang cakap saya mengada-ngada sebab buat laporan polis tetapi selepas saya muat naik bukti dalam Instagram, barulah mereka faham.
“Lepas saya dedah bukti, barulah semua orang mula buka mata bahawa perkara ini memang sangat melampau,” ujarnya.
Pada Sabtu lalu, Sophia membuat laporan polis di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur selepas mendapat kecaman melampau termasuk gangguan seksual dalam media sosial.
Kecaman tersebut semakin memburuk selepas dia memenangi trofi Selebriti Feminin Terhangat pada satu majlis anugerah baru-baru ini.
Menurut peguam yang mewakilinya, Aizat Azam, komen yang diterima bukan sahaja berunsur penghinaan malah turut melibatkan ugutan seksual secara terbuka sehingga memberi kesan terhadap kesihatan mental anak guamnya. – HIBGLAM
The post ‘Ramai mangsa buli takut bersuara, saya buat untuk mereka’ appeared first on HibGlam.