Auto Added by WPeMatico

LONDON – Bintang muda Arsenal, Ethan Nwaneri akhirnya menurunkan tandatangannya terhadap lanjutan kontrak lima tahun yang menyaksikan dia kekal beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) hingga 2030.
Situasi itu sememangnya melegakan para peminat Arsenal memandangkan kontrak asal wonderkid berusia 28 tahun tersebut sepatutnya berakhir pada Jun tahun depan.
“Ia amat bermakna buat saya kerana akhirnya perkara ini (lanjutan kontrak) selesai. Saya sentiasa menganggap ini adalah rumah terbaik untuk saya terus berkembang.
“Saya sangat teruja kerana ini musim pertama saya menjadi sebahagian pemain penting dalam bilik persalinan. Saya tidak sabar untuk memberikan sumbangan kepada pasukan.
“Saya boleh merasakan corak permainan saya sekarang lebih ke depan dan turut menambah beberapa jaringan. Jadi saya begitu gembira menantikan apa akan berlaku pada masa depan,” kata Nwaneri.
Nwaneri mencipta sensasi apabila muncul pemain termuda membuat penampilan di pentas EPL ketika usia 15 tahun 181 hari, menentang Brentford pada September 2022.
Pemain tengah menyerang yang boleh beroperasi di bahagian sayap kanan itu berjaya meledak sembilan gol dalam 37 penampilan untuk semua kejohanan sepanjang musim lalu.
Kecemerlangan itu membolehkan Nwaneri memainkan watak penting memastikan skuad England bawah 21 tahun (B-21) menjuarai Kejohanan Euro B-21 di Slovakia pada Jun lalu. – AGENSI
The post Arsenal tambat wonderkid hingga 2030 appeared first on Kosmo Digital.