Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Aktiviti harian hampir 1,000 penduduk di empat kampung di Bukit Rambai dekat sini terganggu ekoran pencemaran sungai sepanjang kira-kira 10 kilometer yang dipercayai berpunca daripada sisa industri.
Pencemaran itu dikatakan bermula di kolam takungan banjir di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, yang didakwa menyimpan air buangan industri tanpa rawatan sejak tiga minggu lalu.
Keadaan itu telah menyebabkan air di anak sungai yang mengalir ke Sungai Air Salak dan Sungai Malim bertukar menjadi hitam pekat serta berbau minyak.
Seorang pekebun buah, Lee Kau, 68, yang telah mengusahakan tanaman sejak lebih 20 tahun lalu memberitahu, sekiranya pencemaran itu berterusan, dibimbangi semua yang diusahakannya termasuk jambu, durian dan rambutan akan rosak.
“Dulu air sungai pernah hitam, tetapi tiada bau dan kembali bersih selepas pintu air dibuka. Kali ini, warna hitam kekal dan baunya sangat menyengat jadi saya bimbang buah jambu gugur dan bunga durian rosak,” katanya.
Perkara sama turut diluahkan seorang pekebun sayur, Fong Ah Chan, 72, yang meminta agar isu pencemaran sungai itu segera diselesaikan sebelum ia mendatangkan kerugian kepada pengusaha setempat.

Seorang penduduk, Nur Luqman Mohd. Said, 29, pula berkata, keadaan itu turut menyebabkan ramai keluarga di kawasan itu menutup pintu dan tingkap rumah sepanjang masa kerana tidak tahan dengan bau yang kuat.
“Baunya amat kuat sehingga hilang selera makan. Kami harap pihak berkuasa dapat bertindak segera demi kesihatan dan kesejahteraan penduduk,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong yang turut meninjau keadaan sungai berkenaan memaklumkan, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menangani isu pencemaran tersebut secara menyeluruh dan bersepadu.
Katanya, sampel air di kolam takungan banjir dan sungai yang tercemar akan turut diambil bagi mengenal pasti bahan pencemar serta mengesan pihak tidak bertanggungjawab.
Selain itu, jawatankuasa berkenaan diberi tanggungjawab memastikan tindakan pemulihan sungai dilaksanakan segera bagi mengelak pencemaran merebak ke parit atau anak sungai lain, sekali gus melindungi keselamatan penduduk dan hasil pertanian. – KOSMO! ONLINE
The post Sungai Bukit Rambai tercemar, hampir 1,000 penduduk terjejas appeared first on Kosmo Digital.
