
![]()
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil pendekatan lebih dekat dengan komuniti dalam usaha memastikan isu rakyat diselesaikan secara terus di peringkat akar umbi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, perkara itu diputuskan selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Menteri yang turut dihadiri pengurusan kanan DBKL serta Ahli-Ahli Parlimen Kuala Lumpur bagi membincangkan dasar dan isu berkaitan pentadbiran bandar raya ini.
Menurutnya, fokus utama mesyuarat tersebut adalah memastikan setiap permasalahan rakyat ditangani di peringkat komuniti dan bukan sekadar dibincangkan di peringkat pejabat.
“Mulai April 2026, Mesyuarat Konsultasi Datuk Bandar yang diadakan setiap bulan akan dilaksanakan dengan pendekatan baharu.
“Mesyuarat ini akan diadakan terus di kawasan Parlimen masing-masing dan dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif sebagai wakil Datuk Bandar bersama Ahli Parlimen kawasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pendekatan itu juga akan memperkukuhkan peranan Pejabat Cawangan DBKL di setiap kawasan Parlimen selain membawa keupayaan serta sumber daripada ibu pejabat terus ke lapangan.
Katanya, langkah tersebut membolehkan isu yang dibangkitkan dapat dilihat secara lebih dekat dan diselesaikan dengan lebih pantas. – KOSMO! ONLINE
The post DBKL tangani isu rakyat hingga peringkat komuniti appeared first on Kosmo Digital.




