Auto Added by WPeMatico

LOS ANGELES – Pasukan Inter Milan mengakui masih belum berada pada tahap terbaik selepas seri 1-1 bertemu kelab Mexico, Monterrey dalam aksi Kumpulan E saingan Piala Dunia Kelab 2025 semalam.
Pada perlawanan di Stadium Rose Bowl itu, skuad Nerazzurri berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk meraih gol hasil penyudah Lautaro Martinez yang memadamkan jaringan awal kapten pasukan lawan, Sergio Ramos.
Penyerang Inter, Marcus Thuram percaya barisan pemain masih lagi dalam fasa menyesuaikan diri kerana apa yang dilalui sepanjang tiga minggu lalu bukan mudah terutama selepas tewas aksi final Liga Juara-Juara (UCL) kepada Paris Saint-Germain (PSG).
Malah, kekalahan tersebut turut menyaksikan barisan kejurulatihan Inter dirombak dengan Simone Inzaghi menyertai kelab Arab Saudi, Al-Hilal dengan pasukan kini dibimbing oleh Cristian Chivu yang membuat debut pertama.
“Kita berusaha kekal fokus supaya tidak tewas, tetapi ia bukanlah tugas yang mudah bagi semua pemain selepas mengharungi detik sukar sepanjang tiga minggu lalu.
“Namun, kita perlu kekal profesional dengan pasukan berjaya berikan yang terbaik di atas padang,” kata penyerang antarabangsa Perancis itu.
Sementara itu, Ramos berharap keputusan seri yang diraih itu dapat menaikkan motivasi barisan pemain untuk terus berikan sepenuh tenaga pada dua aksi peringkat kumpulan nanti.
“Saya rasa pemain sedar kejohanan ini boleh membuka ruang buat mereka mewakili kelab Eropah dan saya mahu pemain kekal beraksi tanpa sebarang tekanan pada baki saingan nanti,” katanya. – AGENSI
The post CWC: Inter Milan akui belum ‘panas’ appeared first on Kosmo Digital.