Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Harapan skuad Selangor FC untuk memulakan langkah kanan dalam kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) tidak kesampaian selepas tewas 2-4 kepada Bangkok United di Stadium MBPJ, sebentar tadi.
Pada aksi pertama Kumpulan G itu, skuad Gergasi Merah dikejutkan dengan asakan pasukan pelawat yang hanya memerlukan 11 minit meledak gol pembukaan hasil penyudah Ilias Alhaft.
Gol tersebut menaikkan semangat pasukan Bangkok United apabila Muhsen Al-Ghassani menggandakan kelebihan menerusi tandukan berselang empat minit kemudian.
Tersentak dengan dua gol pantas pasukan lawan, Selangor FC memperkemas jentera serangan dan berjaya merapatkan jurang hasil penyudah Chrigor Moraes selepas menerima hantaran Quentin Cheng pada minit ke-22.
Namun, kelekaan di benteng pertahanan sekali lagi menghukum Selangor FC apabila Ilias menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-24.
Nasib Selangor FC bertambah malang apabila pemain pertahanan, Harith Haiqal dilayangkan kad merah selepas mengasari Seia Kunori pada minit ke-39.
Bersambung pada babak kedua, Selangor masih mampu mengimbangi perlawanan walaupun beraksi dengan 10 pemain sebelum kembali merapatkan kedudukan menerusi gerakan menarik yang berjaya disudahkan oleh Izwan Yuslan.
Bagaimanapun, peluang Selangor untuk bangkit akhirnya tertutup rapat apabila Philipe Maia meledak gol keempat buat Bangkok United sekali gus mengesahkan tiga mata berharga buat pasukan pelawat dengan kemenangan 4-2. – KOSMO! ONLINE
The post ACL2: Bangkok United buat Gergasi Merah ‘gigit jari’ appeared first on Kosmo Digital.