Auto Added by WPeMatico

PENCAPAIAN luar biasa filem genre sejarah dan pahlawan, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan menjadi pembakar semangat buat pengarah Viknes Perrabu dalam menghasilkan sebuah filem genre epik, The Keris.
Biarpun berbajet kecil, sutradara yang berpengalaman dalam arena perfileman Tamil lokal itu percaya naskhah tempatan masih mempunyai ruang besar untuk menambat hati penonton andai bersandarkan plot mantap serta cerita berkualiti.
Malah, dia mengakui menjadikan Mat Kilau sebagai rujukan utama sepanjang proses pembikinan filem tersebut dengan menonton naskhah arahan Syamsul Yusof itu berulang kali.
Menurutnya, kejayaan filem yang mencatat kutipan sekitar RM97 juta itu membuktikan penonton Malaysia sentiasa bersedia menyokong karya tempatan yang bagus.
“Saya mengambil inspirasi daripada filem Mat Kilau. Jika naskhah tempatan kita boleh mencapai tahap sebegitu dengan sokongan padu penonton, kenapa kita tidak boleh cuba melakukan perkara yang sama dengan The Keris?
“Saya sendiri menonton sehingga tiga kali. Matlamat kami adalah untuk menghasilkan karya yang berkualiti dan mampu menarik minat orang ramai sebagaimana filem-filem aksi sejarah yang lain.
“The Keris sendiri mempunyai jalan cerita menarik yang menonjolkan keindahan budaya Melayu bersama simbol keris sebagai lambang keampuhan bangsa,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton The Keris, baru-baru ini.
Menyahut cabaran mengemudi sebuah karya yang sarat elemen budaya Melayu termasuk persilatan, warisan keris serta unsur keagamaan, Vikness mengakui penulis skrip, Datuk Zulkifli M. Osman menjadi penasihat sepanjang dua bulan penggambaran berlangsung.
Sebagai seorang pengarah berbangsa India, katanya banyak perkara diberi perhatian bagi memastikan setiap aspek dipersembahkan dengan tepat dan menghormati budaya yang diangkat.
“Saya sedar ada beberapa batasan mungkin dari segi kefahaman saya tentang budaya. Jadi saya banyak merujuk pada Zulkifli selaku penasihat.
“Dia memantau segala-gala perjalanan kisah ini daripada aspek skrip, bahasa, agama sehinggalah ke sudut teknikal termasuk lakonan,” ujarnya.

Menelan kos pembikinan sekitar RM1 juta, The Keris menggabungkan dua latar masa berbeza iaitu era klasik yang berkait rapat dengan legenda Hang Tuah serta dunia moden serta situasi masa kini.
Walaupun mempertaruhkan pelakon baharu, Syaz sebagai watak utama, Viknes optimis terhadap kemampuan aktor berusia 28 tahun itu yang hampir sedekad berpengalaman sebagai pelakon lagak ngeri.
Pilihan tepat
Bahkan, aktor yang menjadi teraju utama naskhah terbitan Mathes Production House disifatkan sebagai pilihan tepat melihatkan komitmennya sepanjang dua bulan penggambaran berlangsung.
“Walaupun bajet kita sekitar RM1 juta dan mempertaruhkan wajah baharu, saya sangat berpuas hati dengan hasil yang ditunjukkan terutama Syaz selaku pembawa watak Daeng.
“Penggambaran pula berlangsung di sekitar Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak bagi menggambarkan suasana era prasejarah dan moden seperti dikehendaki skrip.
“Lebih membuatkan kami teruja, Syaz memang mampu menggalas karakter utama dengan baik, selain handal bertarung serta sangat menjiwai wataknya ,” ujarnya.
Bercerita lanjut, menurutnya barisan pelakon lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Raja Azrey, Nik Ramli serta penampilan khas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor turut ‘memberi’.
“Kami bertuah apabila kesemua barisan tulang belakang ini memberikan komitmen penuh sama ketika pembikinan serta promosi.
“Istimewanya, The Keris juga meraih sokongan banyak pihak termasuk Menteri Besar Kedah yang muncul dalam satu babak penting,” ulasnya.
The Keris mengisahkan perebutan Keris Tempa Melaka yang dikaitkan dengan pahlawan legenda Hang Tuah, melibatkan seorang pengamal seni Muay Thai dan kumpulan mafia dari Rusia.
Filem ini dijadualkan menemui penonton di seluruh negara pada 2 Julai 2026.
