Auto Added by WPeMatico

![]()
LUMUT – Keadaan mayat yang tidak sempurna sekiranya pecah setelah berada di laut selama beberapa hari menjadi antara cabaran perlu dihadapi anggota keselamatan yang terlibat mencari mangsa bot karam di perairan Pulau Pangkor di sini kelmarin.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, mayat biasanya akan terapung pada hari kedua di laut dan berkemungkinan pecah pada hari ketiga.
“Kalau tak pecah pada hari ketiga, ia akan terapung tetapi kalau mayat pecah ia akan tenggelam. Jadi itu jadi kesukaran kepada kita.
“Tadi kita dimaklumkan oleh pesawat yang melakukan tinjauan di udara pada sebelah pagi bahawa tiada apa-apa penemuan baharu berkaitan sebarang objek di laut,” katanya kepada pemberita di Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kg. Acheh di sini hari ini.
Media semalam melaporkan sebuah bot yang membawa 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia tenggelam di perairan Pulau Pangkor di sini awal pagi kelmarin.
Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) yang diaktifkan berjaya menyelamatkan seramai 23 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia.
Kesemua mereka kemudiannya diiringi oleh Bot PPM PAC 16 ke Jeti PPM Kg. Acheh untuk dokumentasi serta siasatan lanjut.
Carilamat yang dilakukan semalam juga berjaya menemukan tujuh lagi mayat iaitu empat pada pukul 2 petang manakala baki tiga mayat antara pukul 6 petang hingga 7 malam.
Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, keluasan sektor pencarian pada hari ini ditambah kepada 343.8 batu nautika persegi berbanding 151 batu nautika persegi semalam.
“Sebab semalam kita lihat penemuan mayat-mayat ini dia bergerak ke utara lebih kurang 14 hingga 17 batu nautika. Jadi fokus pencarian hari ini ke arah utara, lebih banyak ke sana.
“Kalau kita tengok hari pertama dan kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), mayat dijumpai pada jarak kira-kira 18 batu nautika, berkemungkinan hari ini ia akan pergi sehingga 25 hingga 27 batu nautika dari lokasi awal (kapal tenggelam),” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Sukar cari mayat PATI Indonesia jika ia pecah di laut appeared first on Kosmo Digital.
