Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Ahli keluarga kepada ‘Mok Su Viral’ tampil menzahirkan permohonan agar orang ramai tidak menaruh sangkaan negatif terhadap keluarga mahupun Allahyarham sepanjang hayatnya.
Menurut hantaran anak saudaranya, Engku Seri Kelantan di Facebook, Allahyarham Mok Su atau nama sebenarnya Tengku Jariahhanna Tuan Ismail, 71, diklasifikasikan sebagai orang kurang upaya psikiatri dan berada di bawah rawatan serta pengawasan berkala Jabatan Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Katanya, Allahyarham mula mengalami masalah kesihatan mental sejak usia remaja ketika masih di bangku sekolah menengah, sekali gus mengubah perwatakannya daripada seorang gadis yang cantik, tinggi lampai dan pandai bergaya.
“Namun, Mok Su melalui episod gangguan jiwa yang menuntut proses rawatan yang sangat panjang. Allahyarham nenda menghabiskan wang yang bukan sedikit demi ikhtiar mengubati Mok Su. Penyakit yang beliau hadapi bukan kerana tekanan peperiksaan, tetapi lebih kepada khianat manusia.
“Akhirnya, demi keselamatan Mok Su sendiri pada waktu itu, beliau terpaksa ditempatkan di bawah jagaan rapi Allahyarham datuk dan nenek. Puluhan ribu ringgit dibelanjakan, namun ikhtiar perubatan itu tidak menemukan jalan keluar yang benar-benar tuntas,” tulisnya.
Tambah Engku, Allahyarham Mok Su juga seorang yang pintar, pandai mengira duit dan berpantun selain suka menyanyi.
Katanya, selepas 40 tahun menjadi ‘tahanan rumah’ tanpa merasai nikmat kehidupan di luar, Allahyarham Mok Su mula dibenarkan keluar apabila ada perubahan ditunjukkan.
“Apabila Allahyarham nenda uzur, Mok Su mula dibenarkan keluar rumah bila melihat sedikit perubahan yang ditunjukkan. Dari situlah dia mula berjalan sendiri, malah mampu sampai ke Kedai Runcit Bala di Kampung Kubur Kuda untuk membeli barang,” ujarnya.
Jelasnya, semua urusan membabitkan penjagaan Mok Su selepas kematian kedua-dua datuk dan neneknya pula diuruskan dengan penuh tanggungjawab oleh bapa saudaranya, Yang Mulia Tengku Ahmad Fakri.
“Selepas Allahyarham datuk dan nenda kembali ke rahmatullah, urusan penjagaan Mok Su diserahkan kepada bapa saudara. Bermulalah fasa kehidupan yang sedikit lebih bebas untuk beliau.
“Namun, makan minum, urusan pakaian dan tempat tinggal tetap dijaga rapi oleh bapa saudara sehingga ke nafas terakhirnya. Namun Mok Su lebih suka menikmati juadah di luar. Memang itu yang menjadi rutinnya,” katanya.
Dalam masa sama, Engku turut meluahkan kekesalan terhadap segelintir pihak yang mudah mencerca dan memaki hamun Allahyarham Mok Su sekali gus menyebabkan emosinya cepat meradang.
“Saya mohon, janganlah ada lagi prasangka buruk atau tanggapan negatif bukan hanya pada Allahyarham sahaja tetapi pada kaum keluarga juga.
“Kalian tidak melalui sendiri apa yang kami sekeluarga lalui selama ini. Bagi saya, Allahyarham ialah bonda saudara yang lucu, baik, jujur, pemurah dan suka bersedekah. Kalau sudah mula berbual dengannya, memang lebih mengambil masa yang panjang untuk bercerita.
“Hakikatnya, Allahyarham mudah mesra jika diajak berbual dengan baik. Sesiapa yang mengenalinya, pasti tahu bagaimana gelagat mencuit hati dan sisi lembut Mok Su,” katanya.
Allahyarham Mok Su selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sireh, Kota Bharu, Kelantan pada Isnin, kira-kira pukul 9.35 malam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 pagi hari yang sama, Allahyarham Mok Su maut selepas dilanggar sebuah kereta di depan Stesen Minyak Shell, Jalan Sultan Ibrahim di Kota Bharu.
Ketika kejadian, Allahyarham dipercayai sedang melintas jalan dari bahu kiri ke bahu kanan jalan.
Engku juga berkata, beberapa minggu sebelum Mok Su meninggal dunia, Allahyarham dilihat sudah tidak berselera makan selain tubuhnya semakin kurus dan susut.
Sementara itu, dia turut berkongsikan latar keluarga Allahyarham Mok Su yang berasal daripada susur galur kerabat diraja Kelantan.
Katanya, Allahyarham merupakan dua atau tiga pupu kepada Allahyarham Tengku Seri Alam Tengku Zainal Abidin yang bersemayam di Lorong Raja Patani, Kota Bharu.
“Namun, kedua-dua Allahyarham datuk dan nenda iaitu almarhum Tengku Seri Alam dan Tuan Ismail adalah insan yang sederhana serta merendah diri, mereka bukan daripada kalangan yang tinggal di istana, meskipun hubungan kekeluargaan itu tetap ada”, katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Keluarga ‘Mok Su Viral’ minta henti prasangka, Allahyarham dijaga rapi hingga akhir hayat appeared first on Kosmo Digital.
