Auto Added by WPeMatico

![]()
PERSAINGAN teknologi dan kecerdasan buatan (AI), robotik dan teknologi kritikal yang kian sengit antara Amerika Syarikat (AS) dan China mentakrifkan semula landskap global dari segi percaturan kuasa.
Perlumbaan dominasi kini merebak ke kilang, gudang, pelabuhan dan infrastruktur fizikal yang lebih luas.
Fasa seterusnya dalam persaingan AI akan melibatkan kepantasan, jumlah kapasiti dan kebolehpercayaan robot (trust factor) yang dapat dihasilkan, daripada membantu melakukan tugasan harian sehinggalah menjadi faktor penentu dalam kelebihan aspek keselamatan dan ketenteraan.
Langkah baharu Washington untuk mengehadkan kemasukan robot canggih keluaran asing, khususnya buatan China, dilihat penting dalam usaha membendung kelebihan China dalam bidang ini, di samping melindungi keselamatan domestik daripada kemungkinan risiko pengintipan dan ancaman lebih besar sekiranya robot-robot ini akhirnya digunakan sebagai Trojan Horse.
Beijing pula mengambil strategi mendapatkan skala terlebih dahulu sebelum pasaran benar-benar matang.
China melakukannya dengan meningkatkan jumlah pengeluaran, memperkukuh pembekal domestik, menurunkan kos dan membentuk ekosistem bersepadu yang menggabungkan AI dalam sektor bateri, teknologi solar, dron dan kenderaan elektrik, semua bidang yang menyaksikan syarikat-syarikat China telah pun memperoleh kelebihan di pasaran global.
Persaingan robotik yang sedang muncul ini bukan sekadar persoalan siapa menghasilkan robot paling banyak atau paling canggih, tetapi lebih kepada pihak mana yang menguasai mesin, rantaian bekalan dan piawaian yang menghubungkan AI dengan kepentingan sebenar di medan pertempuran.
Tutup Pintu Lebih Awal
Pada Julai lalu, Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan AS (FCC) meletakkan peranti robotik canggih keluaran asing dalam Covered List, sekali gus mewujudkan halangan baharu terhadap kemasukan peranti asing ke pasaran AS bagi melindungi keselamatan ekonomi, ketenteraan dan orang awam negara itu.
Antara kegusaran yang dibangkitkan ialah pengawasan, serangan siber, gangguan rantaian bekalan dan risiko sistem tersebut dikompromi dari jarak jauh.
Robot autonomi moden secara asasnya amat berbeza daripada peralatan import konvensional sebelum ini. Robot kini mempunyai keupayaan untuk menyimpan dan memproses maklumat yang dilihat dan didengarnya serta berinteraksi dengan persekitarannya.
Kemampuan ini boleh memberikan kelebihan strategik kepada pihak lawan, seperti mana ancaman perang siber serta pertimbangan berkaitan pengaruh dan ancaman berselindung TikTok dan Huawei sebelum ini di AS.
Bagi Washington, ia tentunya tidak ingin mengambil risiko dan menunggu sehingga berjuta-juta mesin seperti ini beroperasi di seluruh ruang ekonominya sebelum menyedari sejauh mana pengaruh dan capaian pihak yang mengawal perisian tersebut serta dampak kerosakan yang mungkin telah bertapak.
Pendekatan AS ialah pendekatan penafian strategik: Mencegah kebergantungan berisiko sebelum ia mencapai skala yang besar. Kebimbangan Washington bersifat dua serampang.
Robot China dilihat sebagai risiko yang berpotensi menyaingi keupayaan teknologi dan ketenteraan AS, dan pada masa yang sama AS berdepan risiko kehilangan industri robotiknya sendiri sekiranya kemasukan robot China tidak dikekang.
Beijing Miliki Kelebihan
Pada 2024, China menghasilkan hampir 300,000 robot industri, merangkumi kira-kira 54 peratus daripada pemasangan global. Sebaliknya, AS hanya memasang sekitar 34,000 robot industri pada tahun yang sama.
Skala itu sendiri mampu mewujudkan kelebihan teknologi, sekali gus memberikan pengaruh lebih besar kepada China dalam persaingan ini.
Setiap robot yang digunakan memberikan pengalaman berguna dan membuka ruang kepada pengeluar untuk memperbaik kapasiti komponen dan keupayaan menurunkan harga dan memperkukuh rangkaian pembekal.
Inilah kelebihan sama yang membantu China membina momentum dan kelebihan lebih besar dalam industri bateri, kenderaan elektrik dan pembuatan solar. Kapasiti embodied AI memperbesarkan lagi keupayaan ini sebagai pelengkap kepada industri robotik.
Beijing masih belum meletakkan pertaruhannya semata-mata kepada apa yang mampu dilakukan oleh humanoid dan robot hari ini, tetapi kepada kesan jangka panjangnya apabila kos menurun, keupayaannya meningkat dan skala penggunaan mencapai berjuta-juta mesin.
Strateginya pada asasnya adalah untuk membina skala, sebelum struktur ekonomi berasaskan embodied AI menjadi ketetapan dan sukar diubah.
Strategi Washington pula adalah untuk memastikan skala tersebut tidak berubah menjadi kebergantungan AS sehingga mengehadkan pilihan strategiknya.
Trojan Horse
Kebimbangan bahawa robot China mampu menjejaskan dominasi teknologi AS dan Barat serta melemahkan kelebihan siber dan ketenteraan akan terus menjadi satu percaturan strategik, walaupun terdapat pandangan bahawa ketakutan tersebut diperbesarkan.
Kelompongan yang dilaporkan dalam beberapa platform robotik China telah mengesahkan kebimbangan AS dan Barat dengan menunjukkan bagaimana sistem pengesahan yang lemah, mekanisme akses jarak jauh atau perkhidmatan backend yang telah dikompromi berpotensi mengubah mesin tersebut menjadi alat pengintip dan pengesan deria yang boleh diakses dari jauh.
Objektif yang lebih luas di bawah pentadbiran Trump bersifat dua serampang: Menyekat platform China daripada menguasai infrastruktur robotik dan AI AS, sambil membangunkan ekosistem embodied AI yang kompetitif berasaskan kemampuan AS dan sekutunya sendiri.
Kepakaran
AS masih mengekalkan jurang kelebihan yang besar dalam kecerdasan dan kekuatan model AI berbanding negara lain.
Perlumbaan AI ini akan menjadi medan utama yang menentukan siapa yang akan mendominasi susunan dunia pada abad baharu.
Ini kekal sebagai antara sebab utama Presiden Trump menolak kebimbangan baru-baru ini yang disuarakan oleh syarikat-syarikat gergasi AI seperti Anthropic dan OpenAI mengenai kepantasan skala pembangunan AI serta dakwaan mengenai kekurangan kawal selia dan perlindungan yang mencukupi.
Syarikat-syarikat AS masih memiliki pengetahuan yang sukar ditandingi dalam banyak sistem AI termaju, reka bentuk semikonduktor, pengkomputeran awan dan pelaburan teknologi swasta.
Anggaran Stanford menunjukkan bahawa pelaburan swasta AS dalam AI mencecah kira-kira AS$285.9 bilion pada 2025, mengatasi banyak negara lain.
China pula pada masa ini mempunyai kelebihan dalam “tubuh” ekosistem tersebut, termasuk infrastruktur fizikal seperti kilang, tenaga kerja pembuatan, permintaan industri dan jumlah penggunaan yang diperlukan untuk menterjemahkan AI kepada mesin fizikal.
Inilah dilema strategik yang sebenar: Washington tidak mampu memenangi persaingan ini dengan kekuatannya sendiri sekiranya China terus menguasai keseluruhan ekosistem perindustrian dan pembuatan.
Persaingan AI pada fasa pertama dibina atas persoalan siapa yang mampu menghasilkan mesin paling pintar.
Namun percaturan seterusnya adalah mengenai siapa yang mampu menghasilkannya pada skala besar dengan keupayaan dan kecanggihan tinggi, menggunakannya secara strategik dan meyakinkan dunia untuk mempercayai ketelusan sistem tersebut. – UTUSAN
COLLINS Chong Yew Keat ialah Penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaya (UM).
The post Dari AI ke robot: Pertarungan baharu antara AS–China appeared first on Utusan Malaysia.


