Auto Added by WPeMatico
Sembilan bulan kanak-kanak autisme tunggu terapi

![]()
PETALING JAYA: Kekurangan pakar menyebabkan kanak-kanak autisme terpaksa menunggu antara enam hingga sembilan bulan untuk mendapatkan sesi terapi di klinik kerajaan.
Perkara itu didedahkan oleh Ahli Dewan Negara, Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam yang memberitahu, Kementerian Kesihatan (KKM) hanya mempunyai 14 pakar perkembangan kanak-kanak bagi mengendalikan kes autisme dan kecelaruan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) yang kompleks di hospital terpilih.
Bilangan itu termasuk enam yang masih menjalani latihan, bagi menampung keperluan puluhan ribu kanak-kanak di seluruh negara.
Beliau berkata, terdapat 156 ahli terapi pertuturan di sektor awam, bersamaan nisbah seorang ahli terapi bagi setiap 209,615 penduduk.
“Di Pulau Pinang sahaja, hanya terdapat lapan ahli terapi pertuturan untuk memenuhi keperluan 1.7 juta penduduk, manakala sembilan pegawai audiologi ditempatkan di tiga hospital utama.
“Pada 2021 pula, hanya terdapat 1,893 ahli terapi cara kerja bagi memenuhi keperluan kira-kira 33 juta penduduk Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Lingeshwaran yang pernah membangkitkan masalah tersebut di Dewan Negara berkata, jurang besar antara jumlah pesakit dan kapasiti petugas menyebabkan sistem kesihatan awam tidak mampu menyediakan diagnosis dan intervensi awal dengan segera kepada ribuan pesakit baharu.
Katanya, keadaan itu bertambah serius apabila jumlah individu autisme berdaftar meningkat sebanyak 17,742 kes atau 23.5 peratus daripada 75,457 pada Jun 2025 kepada 93,199 pada Jun tahun ini.
“Gabungan kekurangan kritikal petugas kesihatan bersekutu dan kekangan infrastruktur menyebabkan kanak-kanak yang mengalami gangguan perkembangan terpaksa menunggu antara enam hingga sembilan bulan untuk mendapatkan janji temu baharu bagi sesi terapi.
“Kelewatan intervensi ini boleh menjejaskan potensi mereka untuk belajar bertutur, mengurus diri dan menyesuaikan diri dalam masyarakat ketika melalui fasa tumbesaran yang paling penting,” katanya.
Beliau berkata, perkhidmatan audiologi dan terapi pertuturan ketika ini turut tertumpu di hospital negeri serta hospital utama yang mempunyai perkhidmatan otorinolaringologi dan rehabilitasi.
Katanya, pengagihan tenaga kerja juga tidak seimbang antara negeri dengan kemudahan rawatan jauh lebih terhad di kawasan luar bandar, Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan Skim Baucar Intervensi Khas bagi keluarga B40 dan M40.
Katanya, skim itu membolehkan ibu bapa membawa anak yang telah didiagnosis oleh Pakar Perubatan Keluarga atau pakar KKM menjalani terapi di pusat intervensi swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diiktiraf sementara menunggu kapasiti sektor awam ditingkatkan.
“Kementerian juga perlu mendesak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan meluluskan waran perjawatan khas di luar kitaran biasa.
“Skim pengambilan kontrak berpusat juga perlu ditawarkan segera kepada graduan audiologi, terapi pertuturan dan terapi cara kerja bagi mengisi kekosongan kritikal, khususnya di Sabah, Sarawak dan kawasan luar bandar,” katanya.
Sementara itu, Koordinator Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Fatin Aliana Mohd. Radzi berkata, tempoh menunggu enam hingga sembilan bulan adalah terlalu lama bagi kanak-kanak autisme.
Beliau berkata, dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, enam bulan bukanlah tempoh yang singkat kerana setiap saat intervensi terlepas, peluang untuk membantu perkembangan kanak-kanak berkenaan turut berkurangan.
“Kelewatan mendapatkan terapi boleh memberi kesan terhadap beberapa aspek penting dalam perkembangan kanak-kanak.
“Antaranya perkembangan bahasa dan komunikasi, kemahiran sosial seperti berinteraksi dengan guru dan rakan sebaya, keupayaan memberikan tumpuan semasa aktiviti pembelajaran, kemahiran mengurus tingkah laku serta kemahiran kendiri seperti mengikuti arahan dan rutin harian di tadika.
“Apabila kemahiran asas ini tidak dibangunkan lebih awal, jurang perkembangan antara kanak-kanak autisme dengan rakan sebaya boleh menjadi semakin besar apabila mereka memasuki alam persekolahan,” katanya.
Fatin berkata, negara seperti Australia, United Kingdom (UK) dan Singapura turut memberikan penekanan terhadap konsep pengenalpastian dan intervensi awal, iaitu mengenal pasti tanda-tanda awal serta memulakan sokongan secepat mungkin tanpa menunggu sehingga masalah menjadi lebih ketara.
“Banyak kajian menunjukkan bahawa semakin awal intervensi dimulakan, semakin baik hasil perkembangan kanak-kanak dari segi komunikasi, tingkah laku, pembelajaran dan penyesuaian sosial.
“Walaupun negara-negara berkenaan turut berdepan isu senarai menunggu yang panjang di sesetengah kawasan, pendekatan mereka adalah dengan memastikan sokongan awal diberikan kepada keluarga dan institusi pendidikan sementara menunggu penilaian atau terapi secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN
The post Sembilan bulan kanak-kanak autisme tunggu terapi appeared first on Utusan Malaysia.
