Auto Added by WPeMatico

![]()
SINGAPURA – Sebuah mahkamah Singapura membenarkan seorang ahli perniagaan berusia 97 tahun untuk berkahwin dengan kekasih gelapnya selepas dihalang oleh anak lelaki tersebut, lapor laman berita VNExpress.
Keputusan itu sekali gus menolak dakwaan anaknya bahawa kemerosotan kognitif menyebabkan lelaki itu tidak dapat membuat keputusan sedemikian.
Lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu merupakan pemilik sebuah syarikat kimia yang ditubuhkan pada 1960-an.
Dia berkahwin dengan mendiang isterinya dan mempunyai tiga anak lelaki. Namun, sejak 1971, dia menjalin hubungan sulit dengan setiausahanya dan mempunyai seorang anak bersama wanita tersebut.
Meskipun mendiang isterinya mendapat tahu hal itu, mereka tetap meneruskan perkahwinan sebelum wanita tersebut meninggal dunia pada 2014.
Pada 2016, ahli perniagaan tersebut mula tinggal bersama teman wanitanya dan pada 2021, dia mengumumkan hasrat untuk mengahwini wanita berkenaan.
Anak lelaki keduanya memfailkan petisyen kepada mahkamah keluarga untuk menghalang perkahwinan itu serta mendakwa bahawa bapanya kekurangan kapasiti mental dan tidak dapat membuat keputusan secara bebas.
Dia mendakwa bahawa selepas pernah terjatuh di rumah pada tahun 2017, bapanya mengalami penurunan kognitif serta dimanipulasi oleh pasangannya dan tidak lagi dapat membuat keputusan secara bebas.
Mahkamah kemudian menolak semua tuntutan yang difailkan oleh anak lelaki itu.
Hakim Shobha Nair berkata, penilaian perubatan mendapati lelaki itu mengalami gangguan kognitif berkaitan usia yang ringan dan kehilangan ingatan jangka pendek tetapi masih mampu membuat keputusan mengenai perkahwinan dan harta benda.
Hakim berkata, kelambatan atau kekeliruan sekali-sekala adalah perkara biasa pada usia tua dan tidak menyebabkan kehilangan keupayaan undang-undang.
Mahkamah juga mendapati, hubungan antara lelaki itu dan setiausahanya telah berlangsung lebih 50 tahun dan bersifat stabil.
Katanya, tiada bukti wanita itu menipu atau mengeksploitasinya untuk keuntungan kewangan. – AGENSI
The post Mahkamah benarkan lelaki 97 tahun kahwini kekasih gelap appeared first on Kosmo Digital.
