Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Selebriti popular, Azira Shafinaz mendedahkan pernah dimarahi sehingga diherdik bodoh seorang pelakon senior di set penggambaran ketika mula menceburi dunia lakonan beberapa tahun lalu.
Azira atau nama lengkapnya Azira Shafinaz Ramlan, 34, berkata, perkara tersebut membuatkan dirinya menangis di lokasi kejadian, namun tidak sekali pun menyimpan sebarang dendam terhadap individu berkenaan.
“Saya pernah dimarahi dan dipanggil bodoh, malah dituduh pula tidak pandai berlakon.
“Tipulah kalau tak terasa malah saya memang menangis, namun saya ambil teguran dia tentang cara lakonan saya secara positif dan tidak simpan dendam pun.
“Saya jadikan teguran itu sebagai motivasi untuk memperbaiki mutu lakonan dan cabar diri untuk jadi lebih baik,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada malam gala filem Indera yang berlangsung di sini, semalam.
Meski perit untuk ditelan, Azira bagaimanapun mengakui teguran tersebut memberi impak positif terhadap kualiti lakonannya yang disifatkan semakin baik dari hari ke hari.
“Mungkin bagus juga dia menegur dengan cara sedemikian kerana saya pun masih baharu lagi dalam industri lakonan.
“Banyak yang perlu saya belajar lagi. Tak perlu buktikan apa-apa padanya tetapi insiden itu membantu membentuk siapa saya pada hari ini,” jelasnya.
Enggan mendedahkan identiti, anggota kumpulan DeFam itu turut berkata, dia tidak pernah bermusuh dengan indivitu terbabit bahkan kembali bekerjasama dan menerima pujian atas perubahan kualiti lakonannya.
“Beberapa tahun selepas kejadian itu berlaku, saya pernah digandingkan lagi dengan pelakon yang sama.
“Dia sendiri memuji kualiti lakonan saya yang dikatakan semakin bagus.
“Saya berpegang bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmah ditambah pula saya jenis cepat bangkit dan tidak terlalu melayan emosi negatif,” katanya lagi.
Menerusi filem Indera arahan Woo Ming Jing tersebut, Azira turut digandingkan dengan Shaheizy Sam dan Ruminah Sidek.
Ditayangkan bermula esok (7 Ogos 2025), Indera berjaya menjulang Azira sebagai Pelakon Pembantu Terbaik Asia di Filem Asia Pasifik Kuala Lumpur ke-61 (APFF61) pada Disember tahun lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Makin bagus, terima kasih panggil saya bodoh – Azira Shafinaz appeared first on Kosmo Digital.