Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan Slam, Zamani, 55, enggan menjadikan masalah kesihatan dihadapi sebagai penghalang memberikan persembahan terbaik pada konsert The Grand Slam Unplugged 2 yang bakal berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Pernah berdepan masalah tulang belakang atau skoliosis yang turut memberi kesan terhadap pernafasan, Zamani berkata, dia bersama anggota Slam lain mengambil masa kira-kira sebulan untuk membuat persiapan rapi.
Menurutnya, tempoh berkenaan penting bagi memastikan dirinya dan anggota lain iaitu Shah (gitar), Lili (gitar bes), Man (dram) serta Eddie (keyboard) dapat mengembalikan keserasian seperti awal kemunculan dulu.
“Pada awal memang saya agak bimbang apabila perlu menjayakan persembahan kira-kira dua jam setengah, apatah lagi dengan keadaan kesihatan saya ketika ini.
“Tetapi selepas buat latihan dalam tempoh sebulan ini, ahamdulillah makin lama saya dapat biasakan diri.
“Sehinggalah fasa akhir latihan dan hari ini (semalam), saya dapat buat dengan baik,” katanya ketika pada sesi latihan konsert berkenaan bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di Istana Budaya, di sini, semalam.
Zamani berkata, keputusan menjalani latihan lebih panjang juga mengambil kira faktor usia anggota kumpulan yang semakin meningkat.
“Tempoh masa sebulan diambil untuk buat latihan itu salah satunya disebabkan faktor umur kami semua. Dengan umur kami semua yang sudah meningkat, kemungkinan berdepan juga masalah kesihatan.
“Jadi, tempoh latihan selama sebulan ini adalah sebagai usaha untuk kami gilap kembali apa yang sepatutnya dan dapatkan sentuhan lama semula,” katanya.
Konsert The Grand Slam Unplugged 2 diadakan tiga dekad selepas kemunculan sulung mereka menerusi konsert ‘unplugged’ di Stadium Merdeka pada 3 Ogos 1996.
Menerusi konsert anjuran SS Karya Venture itu, Slam turut menjemput tiga gitaris legenda, iaitu Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search bagi menambah seri persembahan. – KOSMO! ONLINE
The post Faktor usia, kesihatan, waktu ‘jamming’ Zamani lebih panjang appeared first on Kosmo Digital.
