Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Rakan selebriti dilabel sombong, pelakon Datuk Rosyam Nor menyifatkan tanggapan sedemikian mungkin tercetus hanya disebabkan salah faham.
Rosyam atau Mohamed Noor Shamsuddin, 59, berkata artis juga manusia biasa yang berdepan naik turun emosi, sekali gus tidak adil menilai mereka hanya berdasarkan pertemuan singkat.
“Kita tak boleh ‘judge’ artis sombong bila jumpa sekali. Mungkin masa itu dia penat, takkan nak tersenyum sepanjang masa atau mungkin karakter dia sebegitu tapi tak bermakna dia sombong.
“Macam saya nampak garang. Ada masa saya berjalan dengan muka berkerut. Jadi takkan nak cakap saya sombong. Kita kena faham keadaan, ada masa penat. Mungkin juga dia ada masalah,tiada duit, isu keluarga yang buatkan dia kusut.
“Tapi kalau awak tegur dulu, dia okey sahaja.Tidaklah nak tunggu artis itu tersengih pada semua orang. Nanti ada yang cakap ingat ada orang kenal kau ke?,” katanya ketika ditemui pada tayangan filem terbaharu, Pewaris Susuk, di GSC Cinemas Lalaport, malam semalam.
Rosyam berkata demikian mengulas mengenai kekecohan di platform Threads apabila netizen menyenaraikan nama beberapa artis yang didakwa sombong terhadap peminat.
Mengulas lanjut, aktor versatil yang lebih tiga dekad dalam industri seni itu turut mengakui sentiasa menjaga hubungan baik dengan peminat selaku tonggak kerjaya seninya sejak dahulu.
“Kalau orang datang nak bergambar, saya santuni. Siapa artis tanpa peminat? Peminat yang bergambar, akan kongsi gambar itu dengan keluarga atau rakannya.
“Secara tidak langsung mereka seperti ‘rakan promosi’ buat kami iaitu pekerja seni. Itu sebenarnya yang membantu melonjakkan kerjaya kita,” ujarnya.
Sementara itu, berkongsi mengenai filem seram Pewaris Susuk, katanya kepuasan dalam lakonan kini lebih menjadi keutamaan berbanding bayaran selagi menerima skrip dan jalan cerita yang kuat.
“Ketika diajukan tawaran ini mereka kata bajet kecil, tapi saya baca dahulu skripnya. Sangat menarik, kisah yang sarat emosi, pengajaran dan plot twist tidak disangka.
“Itu yang buat saya tertarik. Sekarang saya cari karya yang bagi kepuasan buat diri sendiri dan penonton pun puas dengan lakonan saya.
“Apabila kita nampak keistimewaan plot, bukan soal bajet besar atau kecil kerana hasilnya sangat berbaloi ditambah semua pelakon ‘memberi’,” katanya.
Selain Rosyam, filem seram yang akan ditayangkan 30 April ini itu turut membariskan Che Puan Sarimah Ibrahim, Alya Iman, Abon, Trisha Ooi, Sherie Merlis, Hairie Othman dan Aliza Shahdan. – KOSMO! ONLINE
The post Sekali jumpa kita tak boleh cop artis sombong – Rosyam Nor appeared first on Kosmo Digital.
