Auto Added by WPeMatico

BEKAS wartawan penyiaran Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3), Datuk Karam Singh Walia, meninggal dunia awal pagi tadi.
Perkara itu disahkan oleh adik mendiang yang juga Pengarang Urusan Kumpulan (GME), Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad, Jasbant Singh.
Dilahirkan dalam keluarga bekas polis Punjabi Sikh di Teluk Intan, Perak pada 1959, Karam Singh merupakan wartawan penyiaran di stesen televisyen swasta negara, TV3 yang telah berkhidmat sejak dari tahun 1995 hingga bersara pada 2014.
Dikenali sebagai wartawan alam sekitar paling berpengaruh, mendiang terkenal dengan laporan-laporan khas yang berani dan berimpak tinggi, khususnya dalam mengetengahkan isu pencemaran, keselamatan awam serta kepentingan kelestarian alam sekitar.
Sepanjang kerjayanya, ikon dunia penyiaran itu menjadi antara wajah paling dikenali dalam dunia penyiaran negara menerusi laporan di TV3, dengan gaya penyampaian tersendiri yang tegas, berautoriti dan mudah diingati penonton.
Beliau juga merupakan pemenang anugerah Malaysia Press Institute (MPI) menerusi kategori Wartawan Televisyen Alam Sekitar Terbaik pada 2004, 2005, 2006 dan 2007 dan pemenang Wartawan TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa sebanyak dua kali.
Mendian juga sering dianggap sebagai pelopor kewartawanan alam sekitar di Malaysia, dengan pendekatan laporan lapangan yang mendalam serta berani mengetengahkan isu-isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pemergian Karam Singh Walia memberi kesan mendalam kepada industri penyiaran tanah air.
Beliau bukan sekadar penyampai berita, tetapi seorang pencerita yang berjaya menghidupkan setiap laporan dengan gaya tersendiri.
“Sumbangan beliau dalam dunia kewartawanan akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi wartawan baharu,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial. – HIBGLAM

