Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan supaya pemandu bas diuji penggunaan dadah sebelum memulakan perjalanan yang melebihi dua jam.
Cadangan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap laporan bahawa semakin ramai pemandu bas dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang.
Dr. Mahathir menerusi catatan di Facebook beliau menegaskan bahawa langkah pencegahan awal sangat penting bagi menjamin keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.
“Ramai pemandu bas dikatakan guna dadah. Apa kata kalau sebelum memandu bas untuk lebih dari dua jam, mereka diuji sama ada telah guna dadah atau tidak,” katanya.
Beliau menyarankan supaya mana-mana pemandu yang didapati positif penggunaan dadah dilarang untuk memandu, selain tidak dibayar gaji bagi hari tersebut.
“Jika ada kesan kegunaan dadah, tidak dibenar memandu. Gaji tidak dibayar. Kalau marah-marah kerana diuji, juga tidak dibenar memandu,” tegasnya.
Dr. Mahathir turut mengakui bahawa pelaksanaan langkah ini mungkin akan mencetuskan pelbagai isu seperti kekurangan pemandu bas serta gangguan kepada operasi perkhidmatan bas.
Namun, beliau yakin masalah ini boleh ditangani dengan perancangan dan pengurusan yang berkesan.
“Tetapi akan timbul bermacam masalah. Tidak cukup pemandu bas. Bas tidak berjalan. Semua ini boleh diatasi,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, penglibatan pemandu bas persiaran dengan dadah amat membimbangkan apabila ramai dalam kalangan mereka didapati masih menggunakan bahan khayal itu ketika bertugas. – KOSMO! ONLINE
The post Marah diuji dadah? Jangan bagi pegang stereng appeared first on Kosmo Digital.