Auto Added by WPeMatico

![]()
KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) tidak pernah menerima sebarang aduan berkaitan penipuan atau ‘scammer’ menggunakan masjid di negeri ini untuk mengutip derma.
Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Mohd. Anis Hussien berkata, beliau tidak menolak kemungkinan wujud usaha ke arah itu ada kerana sindiket penipuan sentiasa mencari ruang untuk mengambil kesempatan.
“Setakat saya bertugas di Maik, saya belum pernah terima kes penipuan guna nama masjid untuk mengutip derma dan sebagainya. “Maik sentiasa mendidik masyarakat menerusi program kesedaran supaya tidak mudah terpengaruh dengan ‘scammer’ ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Let’s Do I.T 2025 di Masjid Jamek As-Salam, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Mohd. Anis memberitahu, program kesedaran melibatkan kes penipuan menjadi sebahagian daripada khidmat sosial Maik kepada masyarakat di negeri ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Anis berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan masjid yang gagal mengekalkan tahap kebersihan terutamanya di bahagian tandas dan kawasan persekitaran.
Katanya, hasil penilaian terkini yang dijalankan pada Julai lalu mendapati, tahap kebersihan masjid di negeri ini semakin meningkat.
“Kita mendapat maklumat menerusi pelaksanaan program penarafan bintang yang dijalankan dua tahun sekali.
“Sebanyak 29 masjid berjaya meraih penarafan lima bintang manakala jumlah masjid yang berada di bawah tiga bintang semakin berkurangan berbanding tahun sebelumnya,” ujarnya.
Beliau berkata, penarafan itu dibuat berdasarkan beberapa aspek termasuk kebersihan tandas, kawasan luar dan dalam masjid. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada kes tipu kutip duit derma masjid di Kelantan appeared first on Kosmo Digital.