Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 19 Disember ini.
MetMalaysia dalam satu hantaran berkata, keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan di Semenanjung serta angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh tersebut.
“Sehubungan itu, Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) telah dikemas kini bagi Pahang timur, manakala Amaran Hujan Berterusan (Buruk) bagi selatan Terengganu, tengah Pahang dan timur Johor.
“Selain itu, Amaran Hujan Berterusan (Waspada) telah dikemas kini bagi negeri Kelantan, utara Terengganu, pedalaman Pahang, barat Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka berkuat kuasa sehingga esok,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu katanya, amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora berkuat kuasa sehingga esok bagi Laut China Selatan termasuk perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.
“Analisis terhadap model-model ramalan cuaca menunjukkan bahawa penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak bermula pada 21 hingga 24 Disember 2025.
“Keadaan ini akan menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang di kawasan tersebut,” katanya.
Katanya, 0rang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – KOSMO! ONLINE
The post Hujan lebat berterusan di Pahang hingga Jumaat appeared first on Kosmo Digital.