Auto Added by WPeMatico

DEMI menghidupkan watak Abbas dalam filem KUDRAT 1968 High Council, pelakon Zarif Ghazzi terpaksa melakukan transformasi ekstrem dengan menurunkan berat badan sebanyak 21 kilogram (kg) dalam tempoh hanya tiga bulan.
Ujar Zarif atau nama sebenarnya Zarif Farahi Effie Ghazzi, 22, pengorbanan tersebut dilakukan kerana mahu memastikan penonton melihat Abbas sepenuhnya di layar, bukannya dirinya sendiri.
“Abbas ini 98 peratus bukan diri saya. Saya memang tak mahu penonton nampak Zarif dalam naskhah ini. Saya mahu mereka nampak Abbas sepenuhnya.
“Dari segi mental dan fizikal, saya buat perubahan besar. Berat badan saya turun daripada 90kg kepada 69kg dalam tempoh tiga bulan. Makan sekali sehari, berjoging sejauh 15 kilometer setiap hari semata-mata untuk mendapatkan bentuk badan sesuai.
“Saya juga bukan seorang yang pemarah atau suka bergaduh, jadi sepanjang empat hingga lima bulan membuat persediaan, itulah cabaran terbesar sebelum masuk ke set penggambaran,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas keperluan menurunkan berat badan, bintang drama Ai Crush You itu berkata perubahan fizikal penting bagi memastikan wataknya sebagai pelajar sekolah kelihatan benar-benar meyakinkan.
“Ya, memang perlu sebab watak ini seorang pelajar sekolah. Sebelum ini saya banyak membawa karakter berusia lewat 20-an, jadi badan saya memang lebih besar.
“Saya sangat mementingkan elemen meyakinkan. Bukan sekadar dari segi emosi, tetapi fizikal juga. Saya tak mahu orang tengok dan cakap, ‘Badan besar tapi jadi budak sekolah.’ Itu perkara paling saya tak suka.
“Sebab itu saya kuruskan badan, gelapkan kulit dan buat apa sahaja supaya penonton percaya saya benar-benar Abbas,” ujarnya pada sidang media dan pengenalan pelakon naskhah terbabit, di sini, malam tadi.
Tambah Zarif, disiplin ketat diamalkan sepanjang tempoh persediaan termasuk mengawal pemakanan serta menghapuskan karbohidrat sepenuhnya daripada diet harian.
“Untuk diet, saya masak sendiri. Saya makan daging cincang atau ayam cincang dan tukar menu setiap hari. Sehari hanya sekali makan tanpa karbohidrat kerana saya hentikan semuanya.
“Saya juga buat rawatan untuk menggelapkan kulit kerana kulit asal saya agak cerah. Abbas pula budak kampung, jadi penampilan itu perlu diubah. Keseluruhan persediaan mengambil masa kira-kira empat bulan sebelum saya melangkah ke set,” tuturnya.
Terdahulu, nama Mierul Aiman diumumkan sebagai teraju utama KUDRAT 1968, sebelum Astro Shaw memperkenalkan lima lagi pelakon utama terdiri daripada Zarif Ghazzi, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith, malam tadi.
KUDRAT 1968 diterbitkan Astro Shaw bersama rakan penerbit ZAK Capital, Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures dan HM Entertainment yang dijadual menemui penonton tahun ini.
Filem tersebut mengisahkan seorang pelajar dipaksa memasuki institusi dibina atas nama bapanya, namun akhirnya berdepan dilema sama ada mahu mempertahankan sistem tersebut atau menjadi individu yang akan memusnahkannya. – HIBGLAM
