Auto Added by WPeMatico

![]()
SIK – Seorang lelaki maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk lori treler di Batu 34 Jalan Kuala Sin, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa yang maut merupakan pemandu van, manakala pemandu dan penumpang kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail cedera ringan.
Salah seorang mangsa dalam Nissan X-Trail ialah Datin Norasima Md. Nowar, isteri kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Azhar Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 8.20 pagi tadi.
“Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan melalui talian terus balai yang memaklumkan terdapat kemalangan jalan raya melibatkan tiga kenderaan dan terdapat mangsa tersepit.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan lori treler yang membawa kontena, SUV Nissan X-Trail dan sebuah van Toyota Hiace,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, maklumat awal daripada orang awam memaklumkan kejadian dipercayai berpunca apabila lori treler tersebut terbabas lalu menghempap van, sebelum Nissan X-Trail terbabas dan melanggar lori berkenaan.
“Terdapat dua mangsa di dalam Nissan X-Trail iaitu seorang lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa yang mengalami kecederaan ringan. Kedua-dua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Kedua-dua mangsa telah diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan lanjut. Pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Tambahnya, pemandu van didapati tersepit di dalam kenderaan dan kerja-kerja menyelamat bagi mengeluarkan mangsa dijalankan menggunakan peralatan menyelamat khas dengan operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela dari Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Isteri bekas ADUN Belantik cedera nahas dengan treler appeared first on Kosmo Digital.
