Auto Added by WPeMatico

![]()
ROMPIN – Seorang remaja trauma apabila menyaksikan ayah, ibu dan adiknya rentung di depan mata ekoran tidak sempat menyelamatkan diri selepas rumah yang mereka diami terbakar dalam kejadian di Desa Mawar Muadzam Shah di sini semalam.
Tragedi pada pukul 4 pagi itu mengakibatkan Mohd Kahurolaizam Mokhtar, 42, isterinya, Siti Zaleha Aluha, 31, dan anak mereka, Muhamad Putra Rayqal, 4, maut di lokasi kejadian.
Dua lagi anak mangsa iaitu Putra Aliff Haiqal, 16, dan Mohamad Putra Haikal, 10, terselamat selepas berjaya keluar dari rumah.
Putra Aliff Haiqal berkata, arwah bapanya sempat menjerit memanggil namanya mengarahkan dia membawa adiknya keluar ketika api sedang marak dengan begitu cepat.
Katanya, ketika kejadian dia dan adiknya tidur di ruang tamu manakala ibu bapa dan adik bongsunya tidur di dalam bilik.
“Selepas keluar, saya melihat ayah bertindak menendang dinding sehingga pecah dan melompat keluar dalam keadaan terbakar dan melecur.
“Sebelum keluar, saya sempat lihat dari lubang dinding dan nampak ibu sedang duduk serta berselimut bersama adik bongsu. Mereka tidak sempat keluar kerana api marak begitu cepat,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, jiran mangsa, Nurul Syafikah Mat Salleh, 34, berkata, dia terjaga selepas dikejutkan oleh anaknya memaklumkan terdengar bunyi letupan dari rumah mangsa.
“Kejutan itu menyelamatkan kami empat beranak apabila rumah kami turut terbakar 50 peratus. Bila keluar melalui pintu depan, saya lihat api marak disusuli bunyi letupan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mayat Mohd. Kahurolaizam ditemukan dalam longkang hadapan rumah manakala dua lagi rentung di sudut bilik.
Dalam pada itu, Suzy Aluha, 37, berkata, dia tidak menyangka ucapan anak buahnya ‘bye bye adik hendak pergi jauh, nak bawa emak’ sehari sebelum kejadian rupanya petanda tiga beranak itu akan meninggal dunia dalam keadaan tragis.
Katanya, dia begitu rapat dengan Muhamad Putra Rayqal dan kali terakhir mereka bertemu sehari sebelum kejadian ketika menghantar kek untuk mangsa.
“Seperti biasa kami bergurau senda dan ketika hendak balik dia kata bye bye dan kali ini dia kata nak pergi jauh bersama ibunya dan tidak mahu membawa saya.
“Tidak sangka pula selang sehari kejadian dia, ibu bersama bapanya akan pergi selamanya meninggalkan kami semua,” katanya.
Kakak mangsa, Suhaily, 35, berkata, dia terkilan tidak dapat berjumpa mangsa seperti dijanjikan pada bulan ini.
“Tak sangka jumpa dalam keadaan begini. Kali terakhir berjumpa ialah hari raya lalu,” katanya yang tinggal di Felda Palong, Negeri Sembilan.
Sementara itu anak mangsa yang terselamat, Putra Aliff Haiqal, 16, berkata, ketam masak lemak menjadi juadah terakhir masakan ibunya yang dimakan bersama sekeluarga pada malam itu.
Katanya, semasa makan malam itu juga ibu dan ayahnya memberikan dia dan adiknya menjamah masakan ketam itu terlebih dahulu sebelum mereka bersama-sama menghabiskan juadah itu.
The post ‘Ayah tendang dinding, badan terbakar dan melecur’ appeared first on Kosmo Digital.
