Auto Added by WPeMatico

![]()
APAKAH hukum ziarah kubur pada hari raya?
JAWAPAN: Asal ziarah kubur adalah dituntut dalam Islam. Ia adalah sunat mengikut pendapat yang sahih.
Ini berdasarkan kepada nas yang banyak walaupun pada awalnya Rasulullah SAW melarang daripada menziarahi kubur tetapi diizinkannya bahkan menyuruhnya.
Ini berdasarkan hadis: “Adalah aku dahulu telah melarang kamu menziarahi kubur, maka ziarahlah.” (Riwayat Muslim)
Dalam riwayat yang lain menunjukkan illah atau sebab ziarah kubur untuk mengingati kematian.
Dalam hadis Nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA dia berkata: “Nabi SAW menziarahi kubur ibunya, lalu dia menangis dan orang yang di sampingnya juga menangis, kemudian dia bersabda: “Aku meminta izin daripada Tuhanku untuk aku beristighfar baginya (bagi ibuku), maka Dia tidak memberi keizinan kepadaku, dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya, maka Dia (Allah) membenarkanku, maka ziarahilah kubur kerana ia boleh mengingatkan kepada kematian.” (Riwayat Muslim)
Dengan menziarahi kubur sudah pasti akan membawa keinsafan dan semangat untuk beribadat bagi persiapan menuju alam akhirat.
Berkenaan dengan wanita pula, memang terdapat larangan menziarahi kubur dengan kalimah laknat. Tetapi telah dibahaskan dengan panjang lebar sebab kerana lemahnya semangat, meratap, meraung serta mengikut cara jahiliah.
Untuk itu, dikatakan dilarang menziarahi kubur tetapi saya menutup perbincangan ini dengan menukilkan pendapat al-Hafiz Ibn al-Arabi yang mensyarahkan hadis riwayat al-Turmuzi dengan berkata: “Yang benar adalah Nabi SAW membolehkan menziarahi kubur untuk lelaki dan perempuan.
Jika ada sebahagian yang menganggapnya makruh bagi perempuan, maka hal itu kerana lemahnya kemampuan perempuan untuk bersikap tabah dan sabar sewaktu berada dikubur, atau kerana penampilannya yang tidak menggunakan hijab (untuk menutup auratnya) dengan sempurna.”
Seterusnya, menziarahi kubur pada hari raya atau bulan Ramadan telah menjadi perbahasan para ulama. Ada dua pandangan dalam isu ini.
Pertama: Hukumnya adalah makruh dan tidak dibenarkan dan tidak digalakkan, bahkan dianggap bidaah.
Ini kerana tiada nas yang menunjukkan Rasulullah SAW menziarahi kubur pada hari raya. Bahkan, Baginda SAW melayani tetamu dan saling kunjung mengunjungi antara satu sama lain bagi menzahirkan kegembiraan.
Kedua, hukumnya adalah harus. Ini kerana tidak ada perintah dan larangan secara khusus, di samping mengambil pendapat umum berkenaan dengan perintah ziarah kubur.
Justeru, hukumnya adalah dibolehkan. Antara ulama yang berpendapat hukumnya sunat adalah dalam Fatawa al-Hindiyyah yang menyebut: “Sebaik hari ziarah kubur antaranya hari raya.” (Lihat al-
Fatawa al-Hindiyyah (6/350). Ini merupakan fatwa dalam mazhab Hanafi)
Begitu juga pendapat mantan mufti Jordan, Dr. Nuh Ali Salman al-Qudhah.
Imam al-Harawi dalam syarah sahih Muslim berkata: “Tidak ada hadis sahih yang menerangkan ketentuan hari untuk melakukan ziarah kubur dan tidak pula ada had berapa kali ziarah.”
Selepas meneliti pelbagai dalil, saya lebih cenderung kepada pendapat yang membolehkannya menziarahi kubur pada hari raya, bulan Ramadan atau lain-lain.
Ini kerana, suruhan menziarahi kubur bersifat umum. Kedua, menziarahi kubur dilakukan oleh ramai salafus soleh dan tidak ada nas secara khusus melarang ziarah kubur pada hari raya. Justeru, dalil yang umum tidak ditafsirkannya.
Fatwa berkenaan dengan mengkhususkan ziarah kubur pada hari raya adalah bidaah. Ini kerana menganggap ziarah kubur hanya pada hari raya yang mesti dilakukan.
Namun, kerana ingin mengambil kesempatan ketika pulang ke kampung atau masa cuti adalah dibolehkan.
Kami suka menyatakan di sini sebahagian daripada adat orang-orang tua di Terengganu dan mungkin sebahagian negeri Pantai Timur, di mana mereka menziarahi kubur selepas puasa enam.
Bagi memberi kefahaman dengan lebih baik dalam isu ini, kami nukilkan pendapat Syeikh Athiyyah Saqr.
Beliau merupakan salah seorang ulama yang terkenal di Azhar dengan kealimannya. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Majlis Fatwa Al-Azhar. Beliau berkata: “Hukum asal bagi ziarah kubur adalah sunat, kerana ia boleh mengingatkan seseorang tentang hari akhirat.”
Dengan ini kita dapat simpulkan bahawa menziarahi kubur selepas daripada sembahyang hari raya, jika ia bertujuan mengambil peringatan dan mengingati mereka yang telah mati yang dahulunya bersama-sama berseronok di hari raya, serta memohon rahmat daripada Allah SWT untuk mereka dengan berdoa.
Adapun jika menziarahi kubur selepas solat hari raya untuk memperbaharui kesedihan dan untuk menerima takziah di atas kubur atau dengan mendirikan bangsal dan menyediakan tempat untuk menerima takziah, ia ditegah.
The post Hukum ziarah kubur pada hari raya appeared first on Kosmo Digital.
