
KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, Sabtu lalu bukan medan untuk menghukum sebaliknya menjadi ruang rakyat ‘mengajar’ ahli politik memahami kehendak sebenar pengundi.
Mesej yang cuba disampaikan selepas keputusan diumumkan daripada peti undi jauh lebih ‘lantang’ daripada ucapan politik di pentas ceramah.
Empat hari lalu juga rakyat Negeri Sembilan bukan sekadar mengubah komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya membuktikan mereka menolak politik yang terlalu ‘ghairah’ memainkan sentimen sehingga mengabaikan isu yang benar-benar menyentuh kehidupan. Malah, keputusan undi itu juga menghantar amaran kesabaran rakyat terhadap politik yang sarat dengan polemik semakin menipis.
Kejatuhan nama besar seperti Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan kebangkitan semula MCA membuktikan kesetiaan pengundi bukan lagi boleh dianggap hak milik mana-mana parti.
Dalam suasana ekonomi yang masih mencabar, pastinya rakyat mahu melihat pemimpin menawarkan penyelesaian. Rakyat tidak lagi mudah tertawan dengan ‘hidangan’ isu yang mengundang perpecahan.
Keputusan rasmi membuktikan perubahan itu. Barisan Nasional (BN) meningkatkan penguasaan daripada 14 kerusi pada 2023 kepada 18 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) menambah kekuatan daripada lima kepada tujuh kerusi. Sebaliknya, Pakatan Harapan (PH) mengalami kemerosotan apabila memperoleh 11 kerusi berbanding 17 kerusi pada PRN sebelum ini.
Perubahan itu mencerminkan perubahan sentimen pengundi yang semakin berani menilai prestasi, pendekatan dan keutamaan setiap gabungan politik.
Tumpuan utama sudah tentu tertumpu kepada kekalahan Anthony di Chennah. Menteri Pengangkutan itu sebelum ini menang dengan majoriti 2,200 undi namun akhirnya tewas kepada calon MCA mewakili BN, Siow Kong Choon, yang memperoleh majoriti 688 undi.
Dalam politik, apabila benteng yang selama 13 tahun dianggap kukuh akhirnya runtuh, menandakan berlakunya perubahan arus yang tidak boleh dipandang ringan.
MCA turut merampas kerusi DUN Repah menerusi Koh Kim Swee. Dua kemenangan itu memperlihatkan tanda-tanda MCA mula meraih semula keyakinan pengundi, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina.
Corak sama sudah mula kelihatan ketika PRN Johor pada 12 Julai lalu apabila MCA menunjukkan peningkatan sokongan selepas melalui tempoh panjang yang sukar.
Negeri Sembilan mengukuhkan lagi petunjuk tersebut apabila parti itu masih mempunyai ruang untuk bangkit sekiranya terus mengetengahkan calon yang berwibawa, mendekati rakyat dan mengutamakan politik sederhana.
Selama bertahun-tahun, ramai menganggap sokongan masyarakat Cina terhadap MCA terhakis sehingga parti itu dilihat sukar kembali bersaing. Namun, keputusan di Chennah dan Repah membuktikan tiada sokongan politik yang kekal selama-lamanya. Dalam demokrasi, kepercayaan boleh berubah apabila rakyat merasakan ada pilihan yang lebih meyakinkan.
Pada masa sama, keputusan ini menjadi cerminan yang sebahagian pengundi Cina tidak lagi memberikan sokongan secara automatik kepada DAP. Mereka semakin cenderung menilai calon berdasarkan kredibiliti, prestasi serta kemampuan membawa suara masyarakat secara lebih sederhana dan inklusif.
Lebih penting ialah mesej yang dihantar kepada PH. Kehilangan enam kerusi menjadi petanda strategi politik gabungan itu semakin sukar menambat hati pengundi sederhana.
Sepanjang tempoh berkempen dan beberapa bulan sebelum itu lagi, beberapa polemik yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama mungkin boleh dikatakan alasan mengapa sokongan kepada PH merundum.
Antaranya isu kandang babi yang mengundang kemurkaan Istana Selangor, cadangan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), kontroversi Kampung Baru Cina serta perbahasan berkaitan Lembaga Tabung Haji susulan penerbitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Walaupun setiap isu mempunyai latar belakang berbeza, namun cara ia dibahaskan membentuk persepsi yang sebahagian ahli politik lebih gemar menghidupkan polemik berbanding menawarkan penyelesaian terhadap masalah rakyat.
Bukankah sudah ada pepatah Melayu, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya?’ Dalam politik, kenyataan yang menyentuh sensitiviti masyarakat bukan sahaja mengundang reaksi balas, malah boleh menghakis kepercayaan yang dibina bertahun-tahun.

TIDAK AMBIL PENGAJARAN
Pendekatan bermain isu perkauman mungkin masih mampu membangkitkan emosi penyokong tegar, namun tidak lagi mudah mempengaruhi kelompok pengundi atas pagar yang semakin matang.
Pengajaran ini sebenarnya muncul lebih awal dalam PRN Sabah dan Johor. Ketika itu, pengundi turut menunjukkan kecenderungan memilih kestabilan berbanding retorik yang memecah-belahkan masyarakat. Malangnya, isyarat tersebut nampaknya tidak benar-benar dijadikan iktibar.
Pengundi hari ini jauh berbeza berbanding sedekad lalu. Mereka memperoleh maklumat daripada pelbagai sumber, membuat perbandingan dengan lebih kritis dan tidak lagi menerima sesuatu naratif tanpa penelitian.
Atas sebab itu, parti politik tidak boleh terus bergantung kepada formula lama. Sebaliknya, perlu menawarkan dasar yang meyakinkan, calon berintegriti dan penyelesaian yang mampu dirasai rakyat.
Pun begitu, kemenangan MCA di Chennah dan Repah belum menunjukkan kemenangan menyeluruh MCA, namun cukup untuk membuktikan keyakinan pengundi boleh dipulihkan melalui kerja keras, kepimpinan yang diyakini dan pendekatan yang tidak menjarakkan mana-mana kaum.
Dalam masa sama, PH perlu muhasabah. Suara rakyat di negeri itu wajar dilihat sebagai peringatan yang pengundi sentiasa menilai dan tidak teragak-agak mengubah pilihan apabila merasakan sesebuah gabungan sudah menyimpang daripada harapan mereka.
PRN Negeri Sembilan membuktikan hakikat yang sukar disangkal. Rakyat tidak lagi mudah dipengaruhi polemik yang hanya sekadar menghangatkan pentas politik tetapi gagal menyelesaikan keresahan harian.
Mereka mahukan kepimpinan yang merendahkan suhu politik, mengukuhkan perpaduan dan membawa penyelesaian kepada cabaran sebenar.
Mana-mana parti yang gagal membaca perubahan ini berisiko menerima mesej yang lebih keras apabila rakyat sekali lagi diberikan peluang menentukan masa depan negara di peti undi.
Adakah corak politik di Negeri Sembilan akan berulang dalam PRN Melaka yang bakal menjadi tumpuan seterusnya? Perlu ingat yang pengundi hari ini tidak lagi menilai sekadar kesetiaan tradisi.
Trend sama sudah kelihatan menjelang PRN Melaka. Cubaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kota Melaka mengkritik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berhubung isu banjir kilat mengundang reaksi yang tidak dijangka apabila ramai masyarakat Cina tampil mempertahankan wakil rakyat itu.
Realitinya, era yang menganggap sesuatu kawasan sebagai kubu tetap semakin berakhir apabila pengundi semakin kritikal dan tidak teragak-agak membuat perubahan. –UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.
The post Politik sentimen sudah hilang bisa appeared first on Utusan Malaysia.






