
![]()
JENAYAH scam digital kini menjadi antara ancaman terbesar terhadap kesejahteraan kewangan rakyat. Tanpa menggunakan kekerasan, sindiket hanya memerlukan panggilan telefon, pautan palsu atau iklan pelaburan yang meyakinkan untuk memperdaya mangsa.
Dalam tempoh beberapa minit, wang simpanan yang dikumpulkan bertahun-tahun boleh lesap begitu sahaja.
Keadaan ini semakin membimbangkan apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaporkan kerugian akibat penipuan dalam talian meningkat daripada RM1.57 bilion pada 2024 kepada RM2.97 bilion pada 2025.
Bagi lima bulan pertama 2026 sahaja, jumlah kerugian sudah mencecah RM830 juta. Penipuan pelaburan terus merekodkan kerugian tertinggi, diikuti penipuan telekomunikasi dan love scam.
Lebih membimbangkan, mangsa bukan hanya terdiri daripada warga emas atau individu yang kurang mahir menggunakan teknologi. Golongan profesional seperti doktor, pensyarah, jurutera, usahawan dan penjawat awam turut diperdaya.
Keadaan ini membuktikan bahawa tahap pendidikan yang tinggi sahaja tidak mencukupi tanpa pemahaman yang baik tentang pengurusan kewangan dan keselamatan digital.
Hakikatnya, literasi kewangan bukan sekadar mengetahui cara menyimpan wang atau membuat pelaburan. Kemahiran ini merangkumi keupayaan menilai risiko, mengesahkan kesahihan sesuatu tawaran serta membuat keputusan secara rasional.
Dalam era digital, literasi kewangan perlu bergerak seiring dengan literasi teknologi kerana penjenayah siber semakin bijak memanipulasi emosi mangsa.
Sindiket scam kini memanfaatkan media sosial, aplikasi pesanan, kecerdasan buatan (AI) dan teknik kejuruteraan sosial untuk mencetuskan panik, ketakutan atau ketamakan. Mangsa sering menerima panggilan kononnya daripada polis, pegawai bank atau agensi kerajaan yang mendakwa akaun mereka terlibat dalam jenayah. Ada juga ditawarkan pelaburan dengan pulangan lumayan tanpa risiko. Dalam keadaan tertekan, ramai bertindak terburu-buru tanpa menyemak kesahihan maklumat.
Perkembangan AI menjadikan ancaman ini lebih mencabar. Teknologi deepfake mampu menghasilkan suara dan video yang hampir menyamai individu sebenar. Justeru, masyarakat perlu lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang arahan atau permintaan yang diterima melalui panggilan telefon atau media sosial tanpa pengesahan.
Usaha membanteras scam digital tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata. Pendidikan literasi kewangan perlu diperkasakan sejak di bangku sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi melalui latihan berasaskan situasi sebenar.
Pada masa sama, institusi kewangan hendaklah memperkukuh sistem keselamatan dan amaran awal bagi mengesan transaksi mencurigakan.
Masyarakat juga perlu mengamalkan prinsip ‘Berhenti, semak dan sahkan’ sebelum melakukan sebarang transaksi.
Elakkan berkongsi kod pengesahan transaksi (TAC) , kata laluan atau maklumat peribadi, jangan klik pautan yang tidak dikenali dan sentiasa berhubung dengan bank atau pihak berkuasa melalui saluran rasmi jika timbul keraguan.
Dalam dunia digital yang semakin kompleks, literasi kewangan merupakan benteng pertama bagi melindungi harta, mengukuhkan keyakinan terhadap ekonomi digital dan mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan. -UTUSAN
DR. NORAZWA AHMAD ZOLKIFLI
Pensyarah, Politeknik Nilai
The post Lawan scam dalam talian dengan ilmu appeared first on Utusan Malaysia.











