Auto Added by WPeMatico

![]()
NAYPYIDAW: Pemimpin demokrasi Myanmar yang ditahan, Aung San Suu Kyi bertemu wakil Palang Merah di negara itu pada Isnin.
Ia merupakan pertemuan pertama yang diumumkan kepada umum antara beliau dan seorang pegawai asing sejak pemimpin itu digulingkan menerusi rampasan kuasa tentera pada 2021.
Pejabat Presiden dalam satu kenyataan memaklumkan Wakil Tetap Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) ke Myanmar, Arnaud de Baecque bertemu Suu Kyi pada pagi Isnin.
Wanita itu dilihat berjabat tangan dengan seorang lelaki yang dipercayai de Baecque dalam sekeping gambar yang dikeluarkan oleh Pejabat Presiden.
Satu lagi gambar menunjukkan Suu Kyi memotong kek hari jadi. Sekeping gambar lain memaparkan kek dengan tulisan ‘Selamat Hari Lahir Mak Cik Suu’.
Agensi berita AFP tidak dapat mengesahkan kesahihan gambar-gambar itu. Namun, alat kecerdasan buatan (AI) tidak menemui sebarang petunjuk ia dimanipulasi dan tiada versi gambar tersebut ditemukan dalam talian sebelum Isnin.
“Kami gembira melihat gambarnya seperti ini jika benar beliau bertemu ICRC. Kini kami tahu beliau masih hidup.” kata seorang ahli politik veteran daripada parti Suu Kyi Bagaimanapun, katanya, beliau perlu dibebaskan segera kerana ditahan secara tidak sah,
Pihak tentera menggulingkan Suu Kyi pada Februari 2021, memenjarakan pemenang Hadiah Keamanan Nobel itu dan mencetuskan perang saudara yang masih berlarutan sehingga kini dan mengorbankan lebih 100,000 nyawa, menurut kumpulan pemantau ACLED.
Ketua rampasan kuasa dan bekas Pemimpin Junta Tentera, Min Aung Hlaing dilantik sebagai presiden pada April selepas pilihan raya yang berlangsung di bawah kawalan ketat.
Suu Kyi yang kini berusia 81 tahun, dipindahkan ke tahanan rumah pada bulan yang sama selepas Aung Hlaing mengumumkan baki hukuman penjaranya diringankan.
Beliau sebelum ini ditahan atas pelbagai pertuduhan. Namun, menurut kumpulan hak asasi manusia tuduhan itu sengaja direka bagi menyingkirkannya termasuk parti pimpinan beliau yang popular, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) daripada arena politik.
Pihak berkuasa tidak mendedahkan lokasi sebenar Suu Kyi ditahan di ibu negara Naypyidaw, mahupun tempoh baki hukuman yang masih perlu dijalaninya.
Anaknya, Kim Aris, seorang warga Britain, sebelum ini berusaha mendapatkan bukti yang disahkan secara bebas bahawa ibunya masih hidup selepas beliau dipindahkan ke tahanan rumah.
Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang dianggotai 11 negara mengecualikan kepimpinan Myanmar daripada sidang kemuncak peringkat tinggi sejak rampasan kuasa itu berlaku.
Bagaimanapun, negara jiran Thailand mengetuai usaha membawa Myanmar kembali ke dalam kancah diplomatik, sama ada menerusi hubungan dua hala mahupun melalui blok serantau itu. – AFP
The post Pihak berkuasa Myanmar buktikan Suu Kyi masih hidup appeared first on Utusan Malaysia.
