
![]()
BANGKOK – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) kecewa dengan mutu pengadilan didakwa berat sebelah sehingga menafikan kemenangan pesilat wanita negara, Nor Farah Mazlan dalam aksi menentang wakil tuan rumah di Sukan SEA 2025 semalam.
Setiausaha Agung Pesaka, Bibi Aisyah Golbal Shah menyifatkan kekalahan suku akhir kepada pesilat Thailand, Chongthima Rueanthong sebagai satu penganiayaan yang jelas apabila juri didakwa memanipulasi mata bagi memenangkan atlet Thailand.
Menurutnya, Nor Farah, selaku juara dunia, sepatutnya memenangi perlawanan secara mutlak kerana mendahului perlawanan, namun keputusan berubah drastik sebelum tumpas 40-43 biarpun lawan tidak melepaskan tendangan yang jelas untuk mengutip mata.
“100 peratus Farah sepatutnya menang. Tetapi kami diperdaya oleh juri yang tidak memberikan mata untuk tendangan Farah, sebaliknya menaikkan markah atlet tuan rumah walaupun tiada tendangan dilakukan.
“Jelas nampak permainan mereka untuk kalahkan Farah. Atlet kita mendahului, tetapi juri biarkan lawan mengejar sehingga mata terikat sama pada saat akhir dengan cara yang tidak sah,” katanya.
Difahamkan, wasit yang bertugas ketika perlawanan tersebut dari Filipina dan Singapura.
Bibi Aisyah mendedahkan kem negara tidak sempat melakukan protes rasmi sejurus tamat perlawanan ekoran kekecohan dan pergaduhan yang tidak dijangka di venue pertandingan.
“Kita tak sempat buat protes sebab masa saya nak pergi jumpa delegasi teknikal, berlaku pergaduhan. Kami terpaksa pergi tenteramkan keadaan dan bila saya patah balik, masa untuk buat protes sudah tamat,” jelasnya.
Susulan insiden tersebut, Pesaka telah menyerahkan bukti rakaman video kepada Ketua Kontinjen Malaysia, Nurul Huda Abdullah untuk dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Penganjur bagi mendapatkan penjelasan telus berhubung mutu pengadilan tersebut.
Kekalahan kontroversi ini amat dirasai memandangkan Farah diletakkan sebagai sandaran utama pingat emas buat skuad silat negara.
Ini adalah kontroversi kedua membabitkan atlet negara menentang wakil tuan rumah selepas isu mata dipintas pada saat akhir dalam acara taekwondo poomsae campuran sebelum ini. – KOSMO! ONLINE
The post Sukan SEA: Kemenangan juara dunia ‘dirompak’ appeared first on Kosmo Digital.

