Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Seorang wanita Indonesia yang menetap di Malaysia mengundang perhatian ramai selepas berkongsi rasa terkejutnya mengenai jumlah wang saku harian yang biasa diberikan ibu bapa kepada anak-anak sekolah di negara ini.
Menerusi satu video yang tular di media sosial, wanita yang difahamkan berkahwin dengan lelaki Malaysia dan mempunyai tiga orang anak itu berkata, kebanyakan murid dan pelajar di Malaysia menerima sekitar RM5 sehari untuk perbelanjaan di sekolah.
Menurutnya, apabila ditukarkan kepada mata wang Indonesia, jumlah tersebut bersamaan kira-kira Rp22,000 (22,000 rupiah).
“Saya terkejut apabila tahu RM5 sehari untuk anak sekolah di Malaysia dianggap normal. Bila ditukar kepada rupiah, nilainya sekitar Rp22,000,” katanya.
Jelas wanita itu, di Indonesia, Rp22,000 sehari untuk perbelanjaan seorang pelajar sekolah dianggap agak besar berbanding kebiasaan yang diamalkan oleh kebanyakan keluarga.
Malah, katanya, jumlah tersebut juga mempunyai nilai yang signifikan dalam kehidupan harian masyarakat Indonesia dan boleh digunakan untuk pelbagai keperluan lain.
Bagaimanapun, selepas beberapa tahun menetap di Malaysia, dia memahami bahawa kos makanan, minuman dan perbelanjaan di kantin sekolah menyebabkan RM5 sehari menjadi jumlah yang lazim diberikan kepada murid dan pelajar.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen, khususnya dari Malaysia dan Indonesia yang membincangkan perbezaan nilai mata wang serta kos sara hidup antara kedua-dua negara.
“RM5 sekarang memang biasa untuk beli makan dan minum di sekolah,” kata seorang pengguna.
“Kalau tengok dalam rupiah memang nampak besar, tetapi kos hidup di Malaysia dan Indonesia berbeza,” ujar seorang lagi.
Video berkenaan terus meraih perhatian ramai dengan sebahagian pengguna media sosial berkongsi pengalaman masing-masing mengenai wang saku sekolah ketika zaman persekolahan. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Ibu Indonesia terkejut belanja sekolah RM5 sehari di Malaysia, bersamaan Rp22,000 appeared first on Kosmo Digital.
