Auto Added by WPeMatico

![]()
GUA MUSANG – Seramai 81 mangsa banjir melibatkan 22 buah keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1, Kampung Limau Kasturi di sini tidak sabar untuk pulang ke rumah masing-masing.
Asmah Ali, 62, berkata, walaupun selesa berada di PPS, dia tetap teringatkan rumah dan berharap keadaan cuaca terus baik bagi membolehkan mereka pulang.
Katanya, ini merupakan pengalaman pertama berpindah dan tinggal di PPS selepas rumahnya dilanda banjir.
“Saya memang selesa tinggal di sini, tetapi teringat keadaan di rumah. Kita harap cuaca terus stabil dan pagi esok boleh balik.
“Banjir pada 2014 lebih buruk dan ketika itu saya hanya berpindah ke kawasan bukit. Kali ini, kawasan rumah digenangi air secara mendadak dan saya mengikut arahan pihak berkuasa berpindah ke PPS,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi mangsa banjir, Azizah Othman, 62, pula berkata, dia tidak sabar untuk pulang kerana perlu membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur selain menguruskan kambing yang ditinggalkan.
Katanya, banjir kali ini amat luar biasa apabila air melimpah sehingga paras jendela bahagian atas rumah berbanding kejadian tahun lalu.
“Apabila dibenarkan pulang, saya perlu cepat membersihkan rumah. Lumpur boleh dicuci sehari, tetapi untuk betul-betul bersih mungkin ambil masa dua hingga tiga hari.
“Saya juga mahu tengok dan menguruskan kambing peliharaan. Suami pula mengalami strok, jadi kami tidak selesa jika terlalu lama tinggal di PPS,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata, paras air semakin menurun, namun PPS belum dapat ditutup semalam.
Katanya, pihak polis memaklumkan PPS dijangka ditutup hari ini selepas sarapan pagi sekiranya keadaan mengizinkan.
“Keadaan air sedang menurun hari ini (semalam) dan mangsa banjir dijangka boleh pulang untuk membersihkan rumah.
“Kita sebenarnya terkejut dan tidak bersedia kerana biasanya musim banjir bermula Oktober, November dan Disember. Pengalaman berdepan banjir sebelum ini membantu kita menguruskan penduduk sebaik mungkin,” katanya.
The post ‘Selesa di sini, tapi tak sabar nak balik rumah’ appeared first on Kosmo Online.
