Auto Added by WPeMatico

SEREMBAN – Seorang Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan kontrak untuk syarikat isterinya pada tahun 2021 dan 2022.
Tertuduh, Rosdi Pilus, 50 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu Pegawai Belia Dan Sukan gred S44 merangkap Penolong Pengarah di Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sembilan telah menggunakan kedudukannya untuk suapan.
Suapan itu ialah kontrak perkhidmatan dengan mengambil tindakan membuat padanan bayaran bagi baucer sebut harga perniagaan syarikat milik isterinya berkaitan perolehan Perkhidmatan Pakej Penginapan, Makan dan Minum, Kursus Teknologi Reka Bentuk Pembungkusan dan Pelabelan Produk Zon Selatan yang bernilai RM19,990.
Kesalahan itu dilakukan pada 18 November 2021 di Pejabat Belia Dan Sukan Negeri Sembilan, Seremban.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada 23 Februari 2022 di lokasi sama telah menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu kontrak perkhidmatan bagi isterinya dengan mengambil tindakan memperakukan “Kelulusan Ketua Bahagian” pada Borang Permohonan Pesanan Kerajaan atas nama syarikat milik isterinya bagi perolehan Perkhidmatan Program Hari Sukan Negara Tahun 2022 (IISN2022) Peringkat Negeri Sembilan berjumlah RM5,000.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Zainab Yahaya menawarkan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Peguam Muhammad Wajih Zakwan Hanif memohon tertuduh dikenakan jaminan paling minimum kerana jumlah jaminan dicadangkan adalah di luar kemampuan tertuduh dan penjaminnya.
Muhammad Wajih berkata, tertuduh juga telah memberi kerjasama yang baik kepada SPRM sepanjang proses siasatan dilakukan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara bagi kedua-dua pertuduhan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Julai depan.- KOSMO! ONLINE
The post Penolong Pengarah Belia dan Sukan didakwa guna kedudukan dapat kontrak untuk isteri appeared first on Kosmo Digital.