Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Tindakan dua individu yang dipercayai mengambil kesempatan membuang sampah pukal secara sembunyi semalam mencetuskan kemarahan penduduk apabila perbuatannya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV).
Ketua kampung, Safwan Shari berkata, kejadian itu melibatkan sebuah kereta yang dilihat berhenti berhampiran tong sampah kampung sekitar pukul 5.59 petang sebelum individu terbabit menunggu hampir dua minit bagi memastikan tiada orang lain di kawasan sekitar.
Menurutnya, sebaik kawasan dilihat ‘selamat’, individu terbabit terus mengeluarkan tikar bersaiz besar dari kereta dan membuangnya ke dalam tong sampah yang disediakan khas untuk sampah domestik (sisa makanan).
“Line clear je terus keluar tikar ‘Zam Zam Ala Kazam’. Hampir dua minit juga ambil masa untuk keluarkan tikar tersebut,” katanya dalam satu hantaran.
Beliau menegaskan, dua tong sampah yang disediakan di lokasi itu adalah khusus untuk kegunaan penduduk Kampung Batu 14 Hulu Langat dan hanya bagi pembuangan sampah domestik seperti sisa makanan harian.
“Tikar seperti ini adalah sampah pukal, bukan untuk dibuang di sini. Siapa yang perlu uruskan kalau semua ambil jalan mudah macam ini?.
“Tindakan membuang barang besar seperti tikar, perabot atau lain-lain adalah tidak bertanggungjawab dan menyusahkan pihak lain untuk menguruskan. Mohon kerjasama semua pihak untuk lebih peka dan berdisiplin,” tegasnya.
Safwan turut meminta dua individu berkenaan tampil menghubunginya bagi memberikan penjelasan serta memohon maaf atas tindakan tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Tunggu lama depan tong sampah, bila ‘line clear’ terus keluarkan… appeared first on Kosmo Digital.
