Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Pengakap Malaysia bakal memperluas Program Pengakap Berasaskan Komuniti ke Sabah dan Sarawak tahun depan bagi memberi peluang kepada lebih ramai remaja luar bandar menyertai gerakan pengakap.
Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin berkata, langkah itu selaras usaha memperkukuh pendidikan bukan formal dan membantu Kementerian Pendidikan (KPM) menangani isu moral serta disiplin pelajar.
“Ramai pelajar sebenarnya berminat menyertai pengakap, tapi di sekolah kuota penyertaan sangat terhad, melalui pengakap komuniti, mereka masih boleh aktif di kawasan tempat tinggal seperti di rumah pangsa, ladang atau kilang.
“Program ini kita bawa ke Borneo supaya pelajar di Sabah dan Sarawak juga dapat peluang sama berlatih, membina sahsiah, dan menjadi pemimpin muda yang berdisiplin,” katanya selepas Istiadat Penganugerahan Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia 2025 yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Dr. Mohd. Zin berkata, peluasan program itu juga memberi fokus kepada remaja yang tercicir daripada sistem persekolahan agar mereka tidak terbiar tanpa matlamat.
“Kita mahu mereka kembali ke landasan positif, pendidikan pengakap bukan sekadar aktiviti beruniform tetapi membentuk karakter, semangat sukarelawan dan nilai hormat. Apabila pelajar belajar bekerjasama dan berbakti kepada masyarakat, mereka lebih mudah mengawal emosi dan mengelak gejala sosial,” katanya.
Katanya, setakat ini Malaysia mempunyai lebih 600,000 ahli pengakap, menjadikan ia antara gerakan belia beruniform terbesar di negara ini. – KOSMO! ONLINE
The post Remaja luar bandar di Borneo berpeluang sertai pengakap appeared first on Kosmo Digital.