Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Kedudukan ringgit terus mengukuh kepada 4.1880 hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat, daripada 4.2005 ketika penutup semalam yang dikaitkan dengan sentimen positif susulan kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 6.7 peratus berbanding dolar AS sejak awal tahun ini, disokong situasi luaran seperti jangkaan penurunan kadar faedah di AS yang dijangka berlaku pada malam ini.
“Disamping itu, sidang kemuncak ASEAN juga dilihat banyak menyumbang kepada peningkatan nilai ringgit disebabkan keupayaan rantau ini terutamanya Malaysia dalam mencapai suatu penyelesaian diplomatik melalui meja rundingan yang menghasilkan perjanjian perdagangan yang memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
“Perkara ini dilihat positif untuk jangka masa sederhana dan jangka panjang disebabkan potensi pasaran yang lebih luas, serta jangkaan kemasukan pelabur asing ke Malaysia yang akan meningkatkan permintaan terhadap mata wang ringgit pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berakhir semalam menonjolkan kesepakatan kukuh negara anggota dalam memperkasa kerjasama dan menangani cabaran global, dengan ASEAN menyambut keanggotaan penuh Timor‑Leste sebagai anggota ke-11.
Kehadiran Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri China, Li Qiang memperlihatkan kepentingan ASEAN sebagai penentu hala tuju geopolitik Indo-Pasifik, selain menjadi platform utama bagi menjamin kestabilan ekonomi dan keselamatan serantau.
Mohd. Afzanizam menambah, pihaknya menyasarkan ringgit diniagakan pada paras antara 4.15 dan 4.20 berbanding dolar AS pada hujung tahun ini. – KOSMO! ONLINE
The post Ringgit mengukuh kepada 4.188 appeared first on Kosmo Digital.