Auto Added by WPeMatico

![]()
TEMERLOH – Sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus menjadi tulang belakang ekonomi negara apabila menyumbang RM652.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu serta menyediakan 8.1 juta peluang pekerjaan kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, angka itu membuktikan kekuatan serta ketahanan sektor PMKS yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi domestik dan kesejahteraan rakyat.
“Mereka inilah yang setiap hari berada di barisan hadapan, dari pasar pagi hingga ke penjaja malam demi memastikan rakyat mendapat makanan dan keperluan harian pada harga berpatutan.
“Mereka adalah wajah sebenar semangat niaga negara,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2025 (HPPK2025) di Lurah Semantan di sini, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan menzahirkan komitmen memperkasa komuniti penjaja dan peniaga kecil yang menjadi nadi utama ekonomi rakyat melalui pelbagai inisiatif pendigitalan, pembiayaan serta pembangunan kapasiti di bawah agenda Malaysia Madani.
Menurut beliau, kerajaan turut menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan PMKS kepada 50 peratus KDNK menjelang 2030, sejajar dengan pelaksanaan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).
Tambah Anwar, Kuskop berperanan sebagai peneraju utama memastikan dasar dan inisiatif kerajaan benar-benar diterjemahkan di peringkat akar umbi untuk membantu penjaja serta peniaga kecil terus berkembang. – KOSMO! ONLINE
The post PMKS sumbang RM652.4 bilion kepada ekonomi negara appeared first on Kosmo Digital.