Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat sebuah akaun TikTok yang dikesan menyebarkan berita tidak benar berhubung kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan dilakukan terhadap akaun berkenaan yang menggunakan nama @berjuanguntukzara selepas ia memuat naik kandungan tidak sahih berkaitan kes tersebut.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana memuat naik kandungan berunsur hasutan yang boleh menimbulkan kebencian terhadap pihak tertentu serta kegusaran awam.
Jelasnya, perkara berkenaan turut disiasat dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Penularan kandungan yang tidak sahih tersebut berpotensi menjejaskan kelancaran serta keberkesanan proses sisatan oleh pihak PDRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menyeru orang ramai supaya menghentikan segera perbuatan tidak bertanggungjawab kerana boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah.
Kematian remaja itu mendapat perhatian meluas kerana disyaki mempunyai kaitan dengan buli. – KOSMO! ONLINE
The post PDRM siasat kandungan tidak sahih Zara Qairina di TikTok appeared first on Kosmo Digital.