Auto Added by WPeMatico

![]()
MUAR – Seorang peniaga berputih mata apabila kerugian RM610,000 selepas terjerat dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang dipromosikan di Facebook, awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa lelaki tempatan berusia 49 tahun pada pukul 11.02 pagi, semalam.
Menurut beliau, mangsa pada mulanya tertarik dengan iklan pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa sebelum berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.
“Mangsa ditawarkan keuntungan sehingga 750 peratus dan diyakinkan bahawa semua urusan pelaburan akan diuruskan sepenuhnya oleh ‘broker’.
“Terpedaya dengan janji lumayan itu, mangsa kemudian membuat beberapa transaksi ke beberapa akaun bank berbeza bermula 1 April lalu sehingga jumlah keseluruhan mencecah RM610,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan.
“Siasatan mendapati wang yang digunakan mangsa adalah daripada tuntutan insurans miliknya,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE
The post Nak untung besar akhirnya rugi RM610,000 appeared first on Kosmo Digital.
