Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – ASEAN diseru agar kekal teguh dan tidak gentar berdepan sebarang cabaran, termasuk bencana, konflik serantau dan tekanan geopolitik, dengan menjadikan perpaduan serta solidariti sebagai kekuatan utama rantau ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kekuatan sebenar ASEAN bukan sekadar pada keupayaan ketenteraan atau ekonomi, tetapi pada semangat kebersamaan dan nilai kemanusiaan yang menjadi teras penubuhannya hampir enam dekad lalu.
“Dalam dunia yang semakin terbahagi oleh persaingan dan rasa tidak percaya, ASEAN menjadi bukti hidup bahawa keharmonian bukan sahaja mungkin, tetapi perlu.
“Kekuatan ASEAN terletak pada nilai-nilainya, menghormati kedaulatan dan kemerdekaan, tidak campur tangan dalam urusan dalaman, penyelesaian aman pertikaian, penolakan penggunaan kekerasan dan kerjasama berkesan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan ADMM ke-19 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, prinsip ‘ASEAN Didahulukan’ perlu menjadi pegangan utama setiap negara anggota supaya rantau ini kekal bebas, neutral dan tidak dipengaruhi kuasa besar luar.
“Dalam apa jua tindakan dan pendirian kita, ASEAN tidak boleh menjadi pilihan kedua. Kita mesti berfikir, bertindak dan berperilaku sebagai ASEAN.
“Apabila kita mengutamakan ASEAN, ia akan menjadi gam yang menyatukan kita, membentuk matlamat bersama, nasib bersama dan perpaduan sejati. Dengan perpaduan ini, ASEAN tidak akan mudah dipecah belah atau dipengaruhi pihak luar,” tegasnya.
Beliau turut menekankan bahawa solidariti sesama negara anggota tidak boleh bersifat terpilih dan mesti dizahirkan dalam semua situasi, terutama apabila keamanan serantau menjadi taruhan.
“Apabila seorang daripada kita diuji, maka seluruh ASEAN turut diuji. Solidariti tidak boleh bersifat terpilih. Ia mesti dizahirkan dalam setiap keadaan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan bahawa ancaman baharu seperti serangan siber, manipulasi digital dan keselamatan teknologi kini menjadi medan perjuangan baharu yang memerlukan pendekatan bersama di bawah kerangka ADMM.
“Ancaman terhadap rangkaian dan sistem kita mungkin tidak kelihatan, tetapi sama berbahaya dengan ancaman di perairan kita. Sama ada di darat, laut atau siber, kita tidak boleh mengabaikan mana-mana aspek keselamatan lagi.
“Jika kita gagal melabur dalam pertahanan terhadap ancaman ini, maka kita gagal melindungi masa depan kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ASEAN tidak gentar diuji – Mohamed Khaled appeared first on Kosmo Digital.