Auto Added by WPeMatico

KOTA BHARU – Kenderaan dari Thailand terutamanya van pelancongan paling banyak dikesan menyalahgunakan Permit Edaran Antarabangsa (ICP) untuk mengangkut pelancong ke negara tersebut pada musim cuti persekolahan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, kemasukan kenderaan asing terutamanya dari Thailand yang membawa pelancong dari negara ini dilihat aktif di tiga pintu sempadan di Kelantan.
Menurutnya, terbaharu, dua kes melibatkan kenderaan asing dikesan menyalah guna ICP termasuk kes tidak membayar saman tertunggak di negara ini.
“Banyak kenderaan asing terutamanya van dari Thailand membawa pelancong dari Kelantan melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Pengkalan Kubor di Tumpat dan Bukit Bunga di Tanah Merah.
“Sehubungan itu, JPJ Kelantan mengadakan Ops Bersepadu dengan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dalam masa terdekat untuk mengesan kenderaan Thailand yang menyalahgunakan ICP,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Karnival Sukan Merdeka anjuran Persatuan Institut Memandu Kelantan bersama JPJ di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan di Panji, di sini hari ini.
Mohd. Misuari memberitahu, beliau mengakui bahawa banyak kenderaan dari Thailand yang masuk ke negeri ini terutamanya pada musim perayaan dan cuti persekolahan.
Mengikut undang-undang, kenderaan dari Thailand boleh memasuki Malaysia sejauh 2 kilometer dari pintu sempadan tanpa permit ICP.
Pemandu dari Thailand yang memohon ICP juga tidak dibenarkan untuk mengangkut penumpang untuk urusan tertentu termasuk pelancong masuk ke negara berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Van Thailand dikesan salah guna permit ICP pada musim cuti sekolah appeared first on Kosmo Digital.