Auto Added by WPeMatico

BANGKOK – Thailand melancarkan serangan udara ke atas sasaran tentera di Kemboja hari ini, manakala Kemboja membalas dengan bedilan roket dan artileri, membunuh seorang awam, dalam peningkatan dramatik pertikaian sempadan antara kedua-dua negara.
Bangkok dan Phnom Penh terlibat dalam pertikaian merebut kawasan Segi Tiga Zamrud, di mana sempadan Thailand, Kemboja dan Laos bertemu. Kawasan itu juga menempatkan beberapa kuil purba.
Enam jet F-16 dikerahkan dari wilayah Ubon Ratchathani dan membedil dua sasaran tentera Kemboja, demikian menurut timbalan jurucakap tentera Thailand, Ritcha Suksuwanon.
Pejabat Perdana Menteri Thailand berkata, sebutir peluru artileri Kemboja mengenai sebuah rumah di seberang sempadan, membunuh seorang penduduk awam dan mencederakan tiga yang lain, termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun.
Kedua-dua belah pihak menyalahkan satu sama lain kerana memulakan pertempuran yang meletus berhampiran dua kuil di sempadan antara wilayah Surin Thailand dan Oddar Meanchey Kemboja.
Tentera Thailand menyalahkan tentera Kemboja kerana melepaskan tembakan terlebih dahulu, dan kemudian menuduh mereka melancarkan serangan ke atas orang awam. – AFP
The post Jet F-16 Thai bedil Kemboja appeared first on Kosmo Digital.