Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap Kementerian Kesihatan (KKM) memberi tumpuan mempercepatkan proses pelantikan jururawat tempatan bagi mengisi kekosongan sedia ada.
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, langkah penyelesaian jangka panjang seperti menambah bilangan pengambilan pelatih jururawat di institusi latihan KKM, memperluas peluang Peningkatan Secara Lantikan (PSL), serta meningkatkan insentif dan kemudahan untuk jururawat tempatan perlu diperhalusi.
Beliau berkata, langkah berkenaan adalah lebih tepat dan mampan berbanding mengambil jururawat dari luar negara.
“Cuepacs berpendirian bahawa cadangan mengambil jururawat dari Indonesia bagi berkhidmat di hospital-hospital kerajaan adalah tidak wajar dilaksanakan kerana ramai graduan jururawat tempatan masih belum dilantik.
Terdapat ramai graduan jururawat yang telah tamat pengajian tetapi masih menunggu pelantikan ke jawatan jururawat. Malah, ada yang telah menunggu sehingga lapan bulan tanpa sebarang tawaran lantikan tetap atau kontrak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Adnan berkata, jururawat tempatan juga telah melalui latihan yang ketat mengikut piawaian KKM.
“Mengambil jururawat luar negara yang mungkin tidak mencapai standard yang sama berisiko menjejaskan mutu perkhidmatan kesihatan awam.
“Ramai jururawat masyarakat yang telah menamatkan PSL masih menunggu pelantikan tetap. Golongan ini seharusnya diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan jawatan di hospital-hospital kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam wajar diberikan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan pengambilan pekerja asing, selaras dengan dasar mengutamakan kepentingan warganegara.
“Jururawat tempatan lebih memahami budaya, agama serta sensitiviti sosial masyarakat Malaysia.
“Perbezaan ini berpotensi menimbulkan cabaran dalam komunikasi, pematuhan amalan rawatan berteraskan nilai tempatan, dan hubungan dengan pesakit serta keluarga mereka,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya juga bersedia untuk berbincang dengan pihak KKM bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menangani isu kekurangan jururawat tanpa menjejaskan peluang pekerjaan dan kebajikan jururawat tempatan. – KOSMO! ONLINE
The post Cuepacs harap KKM percepat proses pelantikan jururawat tempatan appeared first on Kosmo Digital.