Auto Added by WPeMatico

![]()
Politik pada asasnya memberi maksud suatu proses membuat keputusan yang melibatkan kepentingan bersama dalam sesebuah masyarakat atau negara.
Dalam bidang Sains Politik pula, beberapa sarjana mengupas politik itu sebagai siapa mendapat apa, bila dan bagaimana (Harold D. Lasswell), manakala seorang lagi mengaitkan dengan pengagihan nilai secara berautoriti dalam masyarakat (David Easton).
Sementara Aristotle dalam penulisannya menganggap politik berkait rapat dengan pengurusan kehidupan bersama dalam negara-kota dan usaha mencapai kehidupan yang baik untuk masyarakat.
Apapun kupasan, pengertian dan terjemahan, politik menjadi begitu sinonim dalam kehidupan setiap orang di mana sahaja mereka berada baik di sebuah negara mengamalkan demokrasi, monarki atau komunis.
Isunya adalah dalam mencapai matlamat berpolitik, semua orang hanya melihat kepada ‘kuasa’. Sementara kuasa ini dalam sistem demokrasi dinamakan sebagai mandat yang diperoleh melalui keputusan pilihan raya.
Melalui mandat ini, ahli-ahli politik membentuk kerajaan bagi melaksanakan pemerintahan di sesebuah negara negeri atau wilayah. Mereka akan menjadi kumpulan pembuat keputusan dalam menentukan dasar, undang-undang serta tindakan yang memberi kesan kepada masyarakat.
Bagi mendapat mandat daripada rakyat itu, ahli politik akan menggunakan pelbagai cara, strategi dan kaedah bagaimana untuk menarik sokongan dan kepercayaan daripada para pengundi.
Malangnya kini seakan menjadi satu kebiasaan, ahli politik bertindak menyalahi atau membelakangi moral, undang-undang, peraturan, malah hukum yang digariskan oleh Islam demi mencapai matlamat mendapat (merebut) kuasa.
Bermulalah pelbagai taktik kotor, muslihat, fitnah, adu domba, caci maki dan sebagainya asalkan para pengundi terpengaruh dan akhirnya memberi sokongan kepada parti politik mereka serta akhirnya membentuk kuasa memerintah.
Meskipun sudah banyak kali mengupas mengenai isu ini, penulis berasakan ahli-ahli politik masa kini dan generasi baharu mesti menolak sebarang budaya politik kotor seumpama ini bagi membentuk sebuah kerajaan yang lebih bersih, dinamik serta bergerak maju seiring kemajuan dunia.
Tidak mungkin kita boleh melihat perjalanan sebuah negara yang baik jika dihasilkan daripada tangan-tangan yang kotor dan hanya memikirkan usaha membolot kuasa.
Ahli politik yang baik adalah mereka yang mempunyai dasar dan matlamat yang jelas mengenai negara bangsa yang ingin dibina. Mereka meletakkan rakyat sebagai keutamaan, keputusan politk mesti berasaskan kepentingan awam bukan untuk pemimpin dan kelompok tertentu.
Mereka mesti mengamalkan integriti, antirasuah, menghormati demokrasi, mendengar suara dan keluhan rakyat serta memiliki pasukan (calon) yang mempunyai rekod cemerlang, kompeten dan diyakini mampu bekerja untuk rakyat.
Hari ini, dalam bahang pilihan raya negeri dan pilihan raya umum didapati alam maya penuh dengan kempen-kempen busuk, kotor dan hanyir dengan pelbagai kutukan, adu domba dan fitnah. Kita tidak boleh membina negara dengan cara begini.
The post Politik kotor tidak jadikan negara suci appeared first on Kosmo Online.
