Auto Added by WPeMatico

TUMPAT – Insiden letupan bom di Tak Bai, Narathiwat pada Rabu lalu tidak memberi kesan kepada rakyat Malaysia apabila masih ramai yang berkunjung dan melancong ke negara berkenaan.
Tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, di sini yang menghubungkan Malaysia dan Thailand melalui Tak Bai mendapati, pintu sempadan dibanjiri kenderaan sejak pukul 8 pagi semalam.
Berlaku kesesakan di ICQS sejauh hampir 700 meter apabila kenderaan menunggu giliran untuk menaiki feri menyeberangi Sungai Golok dari jeti Pengkalan Kubor ke Tak Bai.
Seorang pekerja swasta, Ghazali Othman, 45, berkata, kejadian letupan bom di Tak Bai disifatkan tidak berbahaya kerana suspek yang terlibat tidak menyasarkan orang awam.
“Saya meneruskan perancangan membawa keluarga melancong ke Tak Bai dan Narathiwat.
“Masih selamat untuk melancong ke Selatan Thailand kerana serangan itu tidak disasarkan kepada orang awam. Ia hanya melibatkan pihak tentera.
“Saya sudah biasa masuk ke sana dan tahu situasi semasa di Selatan Thailand. Kejadian letupan itu juga berlaku jauh dari kawasan pelancongan,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Seorang peniaga, Norhayati Mohd. Salleh, 45, berkata, dia bersama anak-anak masuk ke Thailand hanya untuk menjamu selera di bandar Narathiwat.
“Kami akan melalui jalan yang berlaku letupan itu. Saya yakin keadaan selamat kerana ini bukan kali pertama berlaku serangan bom di Thailand,” katanya.
Ujarnya, dia tidak bermalam di Narathiwat kerana akan pulang semula ke Kelantan pada waktu petang selepas makan-makan di sana.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Pengkalan Kubor, Hidayah Mat Ghani, 35, berkata, kesesakan hingga di luar pagar ICQS Pengkalan Kubor merupakan situasi biasa setiap Jumaat.
“Pelancong akan menunggu di pintu pagar itu bermula pukul 7 pagi kerana mahu menjadi orang terawal menaiki feri ke Tak Bai.
“Meskipun letupan bom itu baru sahaja berlaku, pelancong dari Malaysia tetap masuk ke Thailand seperti tiada apa-apa yang berlaku,” katanya.
Kosmo! kelmarin melaporkan, empat anggota Pasukan Pertahanan Sukarelawan cedera selepas kereta dipasang bom yang menyasarkan pusat pemeriksaan meletup di Kampung Khok Mafueang, Mukim Salamai, Tak Bai, Narathiwat pada Rabu lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Letupan Tak Bai: Pelancong Malaysia tetap ke Thai, macam tiada apa appeared first on Kosmo Digital.